September 19, 2024

Operasi SAR mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, diteruskan hari ini

KUALA LUMPUR: Teknik ‘flushing’ akan mula digunakan, hari ini, dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga asing yang hilang akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, Jumaat lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, berkata teknik ‘flushing’ adalah menyekat aliran air di lurang kumbahan dan setelah air melimpah, sekatan akan dilepas untuk menghasilkan arus aliran air yang deras.

Beliau berkata, teknik itu akan dikoordinasikan oleh pasukan Indah Water Konsortium (IWK) bermula di lurang kumbahan lima berhampiran Agrobank.

“Pihak IWK akan mula menjalankan kerja-kerja ‘flushing’ di hiliran (downstream).

“Mereka juga telah mempunyai pemetaan yang lengkap dan bersetuju untuk menjalankan ‘integrity test’ di kawasan ini,” katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman; Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat; dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Nanrendran Maniam.

Maimunah berkata, terdahulu pada hari ketiga SAR, hari ini, kerja pencarian semula diteruskan di lurang kumbahan lima berhampiran Agrobank serta lurang kumbahan enam berdekatan Bulatan Kinabalu.

“Hasil pencarian di lurang kumbahan lima dan enam, semalam, mendapati arus air di dua lokasi itu bergerak perlahan seolah-olah ada sekatan atau ‘debris’.

“Sehubungan itu, pasukan SAR melakukan pencarian semula di lurang kumbahan lima dan enam, hari ini, bagi memastikan tiada apa-apa yang tersangkut.

“Namun, selepas selesai kerja pencarian di kedua-dua lurang kumbahan itu hingga jam 5.30 petang tadi, didapati negatif (tiada mangsa ditemui),” katanya.

Berikutan itu, Maimunah berkata, teknik ‘flushing’ akan mula digunakan bagi membantu pasukan SAR dalam usaha pencarian mangsa.

Beliau sekali gus memaklumkan, operasi SAR akan diteruskan sehingga pasukan penyelamat berjaya menemui mangsa.

“Setakat ini, kita tidak menetapkan sejauh mana pencarian ini. Kita akan meneruskan SAR ini sehingga mangsa ditemukan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi India bagi melanjutkan visa keluarga mangsa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *