September 19, 2024

Perhimpunan Agong UMNO 2024

Saya ingin mendukung pandangan Presiden dengan menegaskan beberapa perkara.

Pertama, UMNO mesti bergerak dan memerintah bersandarkan realiti politik kemajmukan. 

Saya yakin, kebanyakan ahli dan pendukung UMNO sangat mengerti perkara ini. Ia bukan perkara baharu. Atau perkara yang dibuat secara tiba-tiba atas dasar keterpaksaan atau keterdesakan. 

Sebaliknya, pendekatan ini adalah apa yang UMNO bidani sejak parti ini mula mentadbir negara dan bangsa kita seawal kemerdekaan. Dari fikrah UMNOlah, kita wujudkan BN dan mengurus negara ini secara permuafakatan selama lebih enam dekad.

Walaubagaimanapun, pembaharuan strategi dan idea sangat perlu. 

Selain terus bersandar kepada kesederhanaan dan meraikan kepelbagaian, kita mesti mengambil kira kedinamikan semasa. UMNO tidak lagi boleh memaksa pelbagai parti menyertai BN sebagai komponen.

Tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh bekerjasama dengan baik. Pelbagai strategi boleh kita nukilkan, tetapi matlamat asal masih terus kita pertahankan.

Bahawa orang Melayu mesti berkongsi kuasa dengan pelbagai parti lain. Hakikatnya, kekuatan UMNO tidak memadai untuk kita memerintah sendirian.

UMNO mesti berkawan, bersahabat dan senantiasa terbuka untuk berkongsi dan berbahagi demi Malaysia yang berjaya. Jadi, realiti politik kepelbagaian dan prinsip kesederhanaan mesti terus menjadi kekuatan dan pegangan UMNO.

Kedua, orang Melayu mesti berhadapan dengan masa depan politik bangsa dengan yakin.

Tiada apa yang perlu ditakutkan. Dan tiada siapa boleh menakut-nakutkan kita. Benar, jalan masa hadapan semakin mencabar. Banyak perkara yang sudah berubah. Pelbagai aspek kehidupan masa kini tidak sama dengan yang dihadapi oleh UMNO dahulu. 

Akan tetapi, bukankah kita juga parti yang mendewasa dan matang. Masakan dengan segala pengalaman dan pengetahuan yang kita miliki, kita boleh cepat melatah? Atau gemuruh? Atau masih lagi boleh dipengaruhi dengan omong-omong politik yang dangkal dan cetek.

    Masakan kita yang selama ini diberi kepercayaan mengurus parti ini, langsung tidak mempunyai pemikiran dan kebijaksanaan, sehingga membiarkan kepentingan Melayu itu terbiar tanpa pembelaan.

    Tiada siapa dari kami akan membiarkan Melayu menjunam dan Islam terancam. Tidak ada dan tidak akan kita benarkan itu berlaku. Orang Melayu mesti ingat, bersama-sama dengan UMNO, ada pelbagai instrumen lain yang turut menjadi benteng penting dalam memelihara kepentingan dan hak bangsa Melayu.

    Kita ada Raja Berperlembagaan. Kita ada pelbagai institusi kerajaan yang hampir semuanya diketuai oleh orang Melayu. Kita ada penjawat awam.  Dan jangan lupa, kita ada Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara. 

    Kesemua instrumen ini yang menjadi ekosistem dan benteng yang sangat kukuh dalam melindungi orang Melayu. Jadi janganlah membiarkan politik batil, atau seperti yang diungkapkan oleh Timbalan Presiden sebagai politik toksik, mendapat tempat dalam masyarakat kita. 

    Marilah berlumba-lumba dengan idea yang baik, niat yang betul kerja yang bersungguh-sungguh.  Bukannya cercaan siapa lebih pedas, fitnah siapa yang lebih tular atau tohmahan siapa yang lebih besar. 

    Janganlah kita membiarkan mana-mana pihak terus menjadikan agama sebagai modal politik yang ditunggang untuk menakut-nakutkan bangsa Melayu dengan imaginasi yang sangat mengarut.

    Saya ingin seru dan tegaskan di pentas politik terbesar orang Melayu ini. Bahawa UMNO mesti mengisytiharkan perang ke atas segala politik toksik dan batil.  Ia bukan sahaja melemahkan keyakinan bangsa, memecahbelahkan orang Melayu malah bersalahan dengan ajaran agama Islam yang kita pegang.

    Bangsa yang tidak yakin dengan diri sendiri akan menjadi bangsa lemah. Bangsa yang takut dan mudah ditakut-takutkan tidak akan memajukan dirinya. Hanya bangsa yang yakin, yang kuat pendiriannya, akan menjadi bangsa yang unggul dan berketahanan.

    Ketiga, UMNO dan seluruh bangsa Melayu mesti menyambut seruan Presiden untuk bekerja bersungguh-sungguh membangunkan ketahanan bangsa melalui pendidikan dan kemahiran.

    Saya ingin tegaskan, bahawa usaha membangun ketahanan bangsa Melayu pada masa ini mesti bersandar kepada kebolehsaingan. Tiada bangsa akan berjaya tanpa kebolehsaingan. Kita mesti menjadikan generasi Melayu itu lebih baik, lebih kompetitif, lebih berilmu dan lebih global.

    Kita tidak lagi boleh menggunakan bangsa dan agama, sebagai senjata untuk memenangi persaingan. Sentimen sebegitu sudah tidak sesuai dengan Melayu dalam kurun ke-21. Kita mahukan Melayu yang bijaksana dan menjadi pencetus revolusi baharu bagi kemajuan industri, digital dan ekonomi Malaysia.

    Justeru, segala usaha mesti kita gembleng, agar agenda mengarusperdanakan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kebolehsaingan bangsa Melayu disokong dengan bersungguh-sungguh. Bukan diambil mudah.

    UMNO tidak lagi boleh membiarkan pendidikan dan agenda meningkatkan kebolehsaingan orang Melayu menjadi hanya agenda kerajaan. 

    Sebaliknya, UMNO atas kapasitinya sebagai sebuah parti, mesti menjadi sebahagian daripada perkongsian penting dengan Kerajaan untuk memajukan pendidikan dan kebolehsaingan bangsa. 

    Keempat, saya ingin menyentuh sedikit tentang Kementerian yang saya terajui kini iaitu Kementerian Pertahanan. 

    Kita tahu dan sedar, mempertahan kedaulatan negara adalah tugas hakiki Kementerian Pertahanan.  Saya memberi jaminan, tidak akan ada kompromi bagi kita dalam segala hal yang melibatkan kedaulatan tanahair. 

    Selain menumpukan kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan anggota, warga ATM dan golongan veteran. Semua domain pertahanan nasional akan melalui transformasi dan pembaharuan secara  besar-besaran tetapi terancang dalam beberapa tahun akan datang.

    Semua ini adalah penting dan kritikal. Ini kerana, ancaman terhadap kedaulatan negara sangat kini hadir dalam bentuk yang sangat pelbagai, kompleks dan bersifat ‘multifacated’.

    Malah, saya dan Kementerian Pertahanan sedang meneliti secara serius pendekatan terbaik membangunkan ketumbukan dan armada digital secara besar-besaran. Kita tahu dan sedar. Ancaman dan peperangan akan datang semuanya akan tertumpu di persada maya.

    Musuh mampu melumpuhkan semua prasarana kita melalui serangan siber. Mereka boleh menyerang dan memporak-perandakan sistem perbankan dan sistem kerajaan kita dengan pengetahuan dan teknologi digital.

    Malah mereka boleh menerobos segala sistem pertahanan kita hanya melalui serangan siber secara terancang dan berterusan.

    Jadi, kita di Kementerian Pertahanan sangat mengambil berat perkara ini dan akan membuat pelaburan yang besar bagi memastikan armada digital kita adalah antara yang paling baik di dunia.

    Fokus, semangat dan kecintaan UMNO yang memerdekakan tanahair ini dengan keringat, darah dan air mata suatu masa dahulu, akan terus saya hidup dan salurkan melalui Kementerian Pertahanan dengan memastikan negara kita kekal, selamat dan berdaulat. 

    Ini termasuklah dalam isu yang melibatkan Laut Cina Selatan.

    Ramai yang terlepas pandang. Salah satu sumbangan besar para pemimpin UMNO terdahulu di peringkat serantau adalah menubuh dan menjayakan ASEAN.

    Ia bukan sahaja telah berkembang dan matang sebagai sebuah pertubuhan serantau. Malah, berjaya menjadi bentang pertahanan yang telah membuahkan keamanan dan kesejahteraan kepada Malaysia dan rantau ini. 

    Saya akan memastikan bahawa, UMNO akan terus membawa idea-idea besar yang bukan sahaja memajukan orang Melayu dan tanahair kita. 

    Tetapi, insya-Allah, suara dan pendirian negara yang dibawa oleh para pemimpin UMNO akan turut dimanfaatkan untuk mengukuhkan ASEAN. Khususnya dalam menjadikannya sebagai benteng utama bagi membantu Malaysia mempertahankan kepentingan Malaysia di Laut Cina Selatan. 

    ASEAN akan kita gunakan sebagai platform dan ‘conduit’ untuk Malaysia mengurus pertembungan kepentingan dan keghairahan kuasa besar dunia di Laut China Selatan. 

    Beberapa hari sahaja lagi negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan tanahair yang ke 67 tahun.

    Tidak ada peristiwa bersejarah negara yang lebih besar daripada kemerdekaan. Dan tidak ada sumbangan UMNO yang lebih besar melainkan ikhtiar parti ini, dalam mengusahakan kebebasan kita sebagai sebuah bangsa.

    Suka atau tidak, hakikatnya UMNO telah memberikan sebuah kedudukan, kemerdekaan dan kedaulatan tanahair kepada orang Melayu dan semua warga Malaysia. 

    Maka, sewajarnya kita semua terus berusaha untuk memastikan kedudukan dan keindukan UMNO di tanahair yang dimerdekakannya ini terus dihormati selayaknya.

    Jadi, sempena sambutan kemerdekaan dan bulan kebangsaan ini, saya menyeru, tanamlah azam dan tekad untuk kita memperbaiki dan melonjakkan UMNO dengan segala keunggulan.

    Malah, ambillah kesempatan yang ada untuk kita menitipkan doa dan ingatan paling tulus kepada semua pejuang dan pendiri bangsa yang telah bersama-sama membangunkan UMNO dan memerdekakan tanahair ini.

    Semoga perjuangan mereka diterima sebagai amalan soleh. Dan semoga azam dan tekad kita dalam meneruskan warisan perjuangan mereka, akan juga diterima sebagai amalan soleh, insya-Allah.\

    Sekali lagi tahniah dan terima kasih kepada semua yang telah mengambil bahagian dan menjayakan Perhimpunan Agong UMNO kali ini. 

    Sekian, terima kasih. 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *