September 19, 2024

Kuala Lumpur: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga asing yang terjatuh ke dalam lubang benam di Masjid India, di sini diteruskan selepas lebih 24 jam hilang dipercayai dihanyutkan arus deras paip kumbahan bawah tanah.

Pencarian mangsa, Vijayakumar, 48, yang berasal dari Andhra Pradesh, India itu dijangka diteruskan dalam masa terdekat selepas dihentikan jam 1 pagi tadi susulan cuaca hujan lebat.

Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati setakat 10 pagi pasukan penyelamat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilihat mula merancang pergerakan.

Petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat mengawal ketat kawasan terbabit dengan meletakkan pita polis di sekeliling parameter kawasan itu bagi mengelak diceroboh orang awam.

Bagaimanapun belum dapat dipastikan perancangan seterusnya pasukan penyelamat setakat ini malah dua jengkaut yang digunakan untuk membesarkan lubang benam itu sejak semalam didapati sudah tiada di lokasi.

Terdahulu media melaporkan pasukan penyelamat, memfokuskan pencarian pada kawasan saluran paip kumbahan di bawah tanah kawasan kejadian.

JBPM menggunakan khidmat Unit Skuba dalam mencari mangsa selepas khidmat anjing pengesan menemui jalan buntu.

Indah Water Konsortium (IWK) turut komited dalam membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan membuka setiap lurang pembentungan sehingga ke loji rawatan di Pantai Dalam, di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *