September 19, 2024

Umno menyifatkan PN sebagai parti “kura-kura” yang sanggup menjual prinsip tatkala berada di tampuk kuasa, selain bertanggungjawab mengancam kedudukan Melayu.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia berbeza dengan Umno yang sentiasa mempertahankan prinsip perjuangan termasuk menjaga agenda Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu.

“Kita bukan seperti mereka yang saya sifatkan sebagai parti kura-kura, menyorokkan kepala dan sanggup menjual prinsip tatkala berada di tampuk kuasa.

“Bersatu pernah berada dalam kerajaan. Jangan kita lupa, merekalah antara orang yang bertanggungjawab mengancam kedudukan Melayu,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2024 (PAU2024).

Ahmad Zahid turut membangkitkan usaha menandatangani Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dibawa salah seorang menteri Bersatu ketika menjadi kerajaan.

“Usaha untuk menerima pakai ICERD – dibawa oleh salah seorang pimpinan mereka yang menjadi menteri ketika itu.

“Malah perdana menterinya juga dari Bersatu. Kita tidak akan lupa walaupun dia kata Melayu mudah lupa.

“Jika bukan kita sebagai pemelihara keindukan Melayu bangkit menentang, nescaya konvensyen tersebut telah ditandatangani,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mempersoalkan perjuangan PAS untuk meminda Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

“PAS yang bertopengkan agama, ketika menjadi kerajaan, apa agenda Islam yang mereka bawa? RUU 355 senyap sepi seribu bahasa. Hudud bukan lagi agenda utama. Negara Islam pula entah ke mana,” katanya.

‘Sandiwara politik yang mengkhayalkan’

Justeru Ahmad Zahid berkata, orang Melayu perlu sedar tentang perkara ini dan memahami bahawa gabungan PN hanya tahu memainkan sentimen dan emosi.

Tambahnya, PN tidak memainkan peranan dalam memperkukuhkan kedudukan Islam selain hanya membawa sandiwara politik mengkhayalkan.

“Orang Melayu perlu sedar akan perkara ini. Mereka (PN) hanya tahu memainkan sentimen dan emosi bukannya bertujuan memperkukuhkan kedudukan Melayu dan Islam. Ia hanya sandiwara politik yang mengkhayalkan.

“Saya ingin menyeru kepada seluruh umat Melayu. Janganlah terpedaya atau terpesona dengan lisan mereka yang fasih memainkan kata-kata. Kesannya besar kepada kestabilan dan keharmonian negara,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *