November 21, 2024

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru semua ahli UMNO agar mesti memerangi ‘politik toksik’.

Tegasnya, orang Melayu mesti disedarkan bahawa politik kebencian dan toksik yang melampau akan menjadikan mereka anti akal, anti kebenaran dan anti segala-galanya.

“Ia tidak akan menguntungkan sesiapa. Ia akan menambah perpecahan di kalangan orang Melayu. Ia akan mencederakan budaya dan adab politik Melayu dengan kecederaan yang dahsyat.

“Ia sebenarnya, telah memundurkan standard dan etika politik bangsa Melayu, ke tahap paling rendah. Masa depan UMNO adalah sangat bergantung, kepada keberkesanan kita untuk memerangi ‘politik toksik’ ini.

“Ingat, segala ucapan kebencian, merendah-rendahkan martabat orang, menggelar dengan pelbagai gelaran yang tidak elok bukan cerminan sebenar peribadi dan akhlak kita,” katanya di hadapan lebih tiga ribu perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) malam ini.

Mohamad berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO 2024, yang turut dihadiri Naib-naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Bendahari Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Wanita Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Pemuda Dr Akmal Saleh dan Ketua Pergerakan Puteri Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri menimbulkan perkara demikian ketika mengulas mengenai perubahan landskap politik Melayu semenjak beberapa tahun ini yang menyaksikan kemunculan ‘politik toksik’ pada skala yang sangat luar biasa.

“Ia dimanifestasikan dengan segala bentuk fitnah, kebencian dan kata nista yang keterlaluan. Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas, kita menyaksikan kemunculan ‘political hate speech’ yang sangat ‘unprecedented’.

“Media sosial telah menjadi arena kepada revolusi yang mengetengahkan ‘politik toksik’, kebencian dan nista ini. Pemerhatian saya, telah mati di persada politik orang Melayu ini, politik yang matang, sopan, bernas dan bersandarkan idea terbaik.

“Telah muncul apa yang saya panggil ‘politik toksik dan batil’, pada skala yang luar biasa. Ia telah memusnahkan nilai dasar yang mendorong kita berpolitik dan kenapa kita mendukung idealisme pergerakan politik,” katanya.

Justeru katanya, UMNO mesti kembali menjadi ‘ketumbukan politik yang rasional’.

“Kita mesti menjadi armada, yang memerangi politik toksik ini dengan ilmu, hikmah dan kebaikan. Jawapan kita, atau serangan balas kita, harus dengan akal, bukan nafsu dangkal. Harus dengan data, bukan kata nista. Harus dengan hikmah bukan dengan fitnah.

“Namun untuk memerangi ‘politik toksik’ ini, kita mesti laksanakan dengan strategi yang ampuh. Ia telah sampai ke tahap yang sangat serius dan merbahaya. Jika tidak dibendung, ia akan menyemarakkan api perkauman dan kebencian yang kemuncaknya ialah keganasan,” katanya.

Mohamad seterusnya memberi contoh apa yang telah terjadi di negara Barat baru-baru ini, rusuhan dan kebencian yang berlaku akibat pemikiran toksik dan fitnah.

“Lihat sahaja rusuhan dan kebencian yang sedang meluap-luap ke atas orang Islam dan komuniti migran di bandar-bandar besar di England dan Ireland Utara baru-baru ini. Semuanya bermula dengan pemikiran toksik dan fitnah kononnya suspek kepada kes pembunuhan sekumpulan kanak-kanak di Southport adalah orang Islam dari komuniti migran.

“Lalu kebencian merebak. Prejudis menyala-nyala. Keganasan, vandalisme serta serangan ke atas masjid dan premis perniagaan orang Islam berleluasa. Walaupun akhirnya pihak berkuasa tampil dan mengeluarkan laporan rasmi, bahawa suspek bukan seorang beragama Islam, keadaan tidak semakin pulih,” katanya yang berkata kejadian tersebut seharusnya menjadi contoh kepada rakyat negara ini akan bahayanya ‘politik toksik’ dan prejudis yang membuta tuli.

Justeru, Mohamad menyarankan kepada semua perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan bersidang pada esok untuk membahas dan meneroka jalan bagaimana harus menangani gejala ‘politik toksik’ ini.

“Ketengahkan cadangan dan usul yang boleh kita lakukan bagi membanterasnya. Kita harus mempunyai strategi konkrit. Jika ada undang-undang yang harus dipinda, usulkan.

“Jika ada teknologi yang boleh diguna pakai, kita manfaatkan,” sarannya. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *