November 23, 2024

Kuala Lumpur: Seramai 107 wanita warga China disyaki sebagai gadis pelayan pelanggan ‘gred A’ ditahan dalam serbuan ke atas empat premis pusat karaoke (KTV) di Jalan Raja Chulan, di sini, hari ini.

Pengunjung yang dahagakan belaian manja gadis pelayan terbabit dipercayai dikenakan bayaran bermula RM1,000 hingga mencecah RM20,000 untuk layanan tahap ‘VIP’.

Premis yang berselindung di sebalik sebuah menara pejabat 21 tingkat itu mengenakan caj tempahan bilik karaoke bermula RM4,500 sehingga RM30,000, bergantung kepada saiz bilik dan perkhidmatan lain-lain.

Difahamkan, kesemua premis terbabit memiliki pemilik berbeza dan kesemuanya hanya melayan pelanggan yang membuat tempahan.

Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi itu mendapati sebilangan besar pengunjung di kesemua premis terbabit adalah lelaki warga asing.

Bagaimanapun, cubaan wartawan untuk menemu bual wanita warga asing terbabit gagal, berikutan mereka yang ditemui mendakwa tidak memahami Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris.

Pemeriksaan di beberapa bilik di premis terbabit turut menemukan sejumlah kondom yang disyaki digunakan bagi kegiatan tidak bermoral.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha berkata, serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur bermula 12.45 tengah malam tadi.

Menurutnya, serbuan dijalankan hasil risikan selama dua bulan susulan aduan awam berhubung kegiatan tidak bermoral membabitkan warga asing di premis berkenaan.

“Malam ini, kita periksa 300 orang di mana 213 ditahan berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan.

“Antara ditahan, 12 lelaki tempatan, dua wanita tempatan, lelaki China (79), wanita China (107), lelaki Kemboja (dua) dan lelaki Hong Kong (dua),” katanya pada sidang media di lokasi operasi, di sini, hari ini.

Turut hadir pada operasi itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff serta sejumlah pegawai daripada JIM Melaka sebagai bantuan sokongan.

Jafri berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya wanita terbabit bertugas sebagai GRO di KTV berkenaan.

Katanya, siasatan awal juga mendapati premis terbabit baru beroperasi kira-kira sejak lima bulan lalu berdasarkan pengakuan lisan beberapa individu dan keadaan bilik yang masih diubah suai.

“Kita akan siasat dengan lebih lanjut, setakat ini kita percaya wanita ini dibawa masuk dari luar (premis) kerana tiada bilik (tempat tinggal) ditemukan di dalam premis yang diperiksa. 

“Keseluruhannya, seramai 213 individu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *