September 19, 2024

KUALA LUMPUR: Kali terakhir, pelakon dan penyanyi, Dafi mengeluarkan single Girl serta Sempurna pada 2016.

Selepas sekian lama ‘bertapa’, Dafi memilih bulan ini sebagai permulaan baharu tampil dengan single Hellooo!.

Dafi atau nama sebenarnya, Gadaffi Ismail Sabri yang juga pernah mencipta nama sebagai peserta program realiti Akademi Fantasia (AF) musim kelima berkata, dia sudah lama berhasrat tampil dengan single baharu.

“Sudah lama tidak tampil dengan single baharu sejak 2016. Sehingga ada yang lupa saya sebenarnya penyanyi. Ini kerana saya lebih memberikan fokus kepada bidang lakonan.

“Memandangkan karya ini sudah lama berada dalam simpanan dan sudah dirakamkan, ini adalah masa terbaik untuk dilancarkan khas untuk halwa telinga semua pihak.

“Beberapa tahun tertangguh, tidak dinafikan ada rasa ralat dalam diri kerana semuanya sudah disiapkan, cuma ada hal teknikal yang tidak dapat dielakkan menyebabkan ia disimpan dahulu,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi lanjut, Dafi berkata, hala tuju muziknya kini sudah berubah apabila mempamerkan sisi lebih matang seiring dengan pertambahan usia yang kini berusia 36 tahun.

“Semakin dewasa dalam bermuzik, saya ingin menyajikan kelainan ketika menyampaikan lagu yang penuh dengan semangat, persahabatan dan aura positif.

“Saya dikenali menerusi lagu Bila Terasa Rindu, namun saya ingin bereksperimentasi dengan muzik sejajar dengan peningkatan usia, sekali gus memberi impak positif kepada kerjaya.

“Single ini begitu istimewa kerana dihasilkan dua figura yang juga idola saya dalam industri. Karya dihasilkan sering mencetuskan magis, jadi pertama kali mendengar Hellooo!, saya terus jatuh cinta,” katanya.

Dafi berkata, memilih frasa sapaan ‘Hello’ sebagai mukadimah untuk permulaannya dan lagu sentuhan oleh komposer Altimet dan lirik oleh Shazee Ishak itu adalah simbolik kepada kekuatan dirinya yang tidak pernah berputus asa dalam hidup.

Katanya, dia tidak melihat percubaannya dalam bidang seni sebagai pematah semangat, sebaliknya meneruskan langkah untuk berjuang.

“Sebagai anak seni, keadaan sebegitu sedikit pun tidak mematahkan semangat saya dalam meneruskan kerjaya yang saya cintai ini.

“Hellooo! adalah suara hati saya. Selepas lebih sedekad bergiat aktif dalam bidang ini, saya lebih matang dan berpendirian.

“Mungkin kehadiran saya sebagai penyanyi tidak mendapat pengiktirafan sebanyak yang diinginkan, namun saya masih bersemangat dan tidak berputus asa dalam bidang seni. 

“Ini kerana saya mempunyai minat mendalam dalam bidang seni dan tidak mahu berputus asa begitu sahaja,” katanya yang kini bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana label.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *