November 23, 2024

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes perceraian yang difailkan pengarah filem sensasi, Syamsul Yusof, 40, terhadap isteri, Ira Kazar akan berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, Selasa depan.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili anak guamnya itu berhubung perkembangan terkini membabitkan kes perceraian pasangan yang baru setahun lebih berumah tangga itu.

“Kes Syamsul (fail cerai) pada Selasa (27 Ogos) di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat. 

“Ia membabitkan tuntutan perceraian dengan kebenaran mahkamah di bawah seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS),” katanya ringkas kepada Harian Metro.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Syamsul sudah memfailkan perceraian terhadap isterinya, Ira Kazar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada Isnin lalu.

Ia disahkan oleh Azmi selepas mendapat kebenaran daripada Syamsul yang memfailkan cerai terhadap Ira di mahkamah syariah terbabit pada jam 2 petang kelmarin.

Azmi berkata, perceraian itu difailkan Syamsul atas alasan sudah tiada persefahaman.

Sebelum ini, Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin yang juga anak kepada pelakon veteran, Kazar Saisi, bernikah di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu.

Susulan itu, pelakon Puteri Sarah Liyana, 39, yang juga isteri pertama Syamsul ketika itu nekad memfailkan perceraian dan akhirnya bercerai talak satu pada 14 Jun tahun lalu. 

Syamsul dan Puteri Sarah yang mendirikan rumah tangga pada Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *