September 19, 2024

Kuala Lumpur: Tular satu rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) dimuat naik seorang pengguna TikTok yang merungkai perbuatan vandalisme yang menjadi punca sebenar kerosakan lif sebuah pangsapuri di Desa Petaling, Cheras, dekat sini, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian Mud CentRoy di TikTok, dia menjelaskan sebelum insiden itu lif berkenaan tidak mengalami sebarang kerosakan.

Sebaliknya, satu objek iaitu selipar diletakkan kanak-kanak berkenaan di tengah pintu lif menjadi halangan hingga sistem auto kunci diaktifkan.

“Berdasarkan laporan kerosakan daripada pihak lif, lif di blok 59 berfungsi dengan baik dan tiada kerosakan.

“Namun, disebabkan vandalisme dilakukan kanak-kanak berkenaan yang meletakkan selipar di tengah-tengah pintu lif menyebabkan sistem auto lock diaktifkan dan lif berhenti.

“Di sini juga dilampirkan gambar kanak-kanak berkenaan merosakkan lif sehingga tidak berfungsi.

“Rujukan gambar dan video disediakan sekali, terima kasih,” tulisnya.

Pendedahan itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang kebanyakan mereka berasa kesal dengan apa yang dilakukan oleh kanak-kanak terbabit.

Rata-ratanya berharap kejadian itu dijadikan satu pengajaran supaya tidak berulang pada masa depan.

“Biar dia belajar daripada kesalahan… ada baik ada buruknya,” tulis Ayuni Azmi.

“Bagus dik (adik) tahu erti penyesalan muda-muda, kalau dah (sudah) tua menyesal pun tak guna,” tulis Zack Aziz.

“Mesti trauma dia nak main lif lepas ini,” tulis Far.

Terdahulu, Harian Metro dua kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang sejak petang Selasa, di sebuah pangsapuri di Desa Petaling, Cheras, di sini, ditemukan dalam keadaan lemah, awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh dilapor berkata, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kedua-dua mangsa berusia 11 dan 10 tahun dilihat tertidur selepas terperangkap di dalam lif yang sedang diselenggara pada 12.45 tengah malam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *