November 23, 2024

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata Pengerusi PN (PN) Muhyiddin Yassin terperangkap dengan kenyataan yang dibuatnya sendiri apabila apabila mendakwa memperolehi sokongan mencukupi untuk dipilih sebagai perdana menteri ke-10.

Malah Mohd Puad berkata bekas perdana menteri itu juga mungkin terlepas cakap ketika ghairah berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri, minggu lalu.

“Saya pun sebenarnya hairan kenapa Tan Sri (Muhyiddin) bangkitkan benda itu (jumlah sokongan ahli Parlimen) sebab dia pun tahu (tak mencukupi).

“Cuma saya rasa dia hendak main sentimen masa di PRK Nenggiri saja tapi akhirnya dia terperangkap sebab mungkin dia terlepas cakap,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Presiden Umno, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024, hari ini.

Mengulas mengenai jumlah sokongan yang diperolehi ahli Parlimen Pagoh itu, Mohd Puad berkata perkara itu tidak berbangkit.

Dia juga membayangkan bahawa Muhyiddin telah mengadakan pertemuan dengan pimpinan Umno beberapa hari selepas pilihan raya umum (PRU) ke-15 dan sebelum pembentukan kerajaan perpaduan bagi memaklumkan tentang sokongan diterimanya.

“Dia (Muhyiddin) dah pernah dedahkan sebelum ini. Jadi, bagi kami Umno kami dah tahu, dia dah pernah dedahkan sebelum ini, saya rasa dia tak perlu ulang tapi apa yang kita nak adalah kita perlu bergerak ke hadapan sebab pada ahli Umno kita tahu (perkara) yang sebenarnya.

“Macam MKT, kita bermesyuarat sehinga jam 1.00 pagi untuk buat keputusan satu sahaja, (iaitu) nak sertai kerajaan perpaduan atau pun tidak.

“Jadi, soal nombor yang disebut Muhyiddin tak berbangkit,”katanya.

Muhyiddin sebelum ini didakwa menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika ceramah umum pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri 15 Ogos lalu.

Dia mendakwa mendapat 115 sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang membolehkannya dilantik semula sebagai perdana menteri.

Namun menurut presiden Bersatu itu, dia tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

Kelmarin, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah murka terhadap kenyataan itu yang disifatkan memperlekeh peranan Sultan Abdullah ketika menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan ucapannya adalah kenyataan berfakta dan tidak bermaksud menghina institusi raja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *