September 19, 2024

GEORGETOWN: Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow belum pasti sama ada akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan jawatankuasa negeri September ini.

Chow yang juga naib pengerusi DAP kebangsaan berkata, setiap calon perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya daripada dua cawangan untuk melayakkan mereka bertanding, sambil menambah ketika ini beliau tidak tahu sama ada dicalonkan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masih mempunyai masa kerana tarikh tutup penyerahan pencalonan bagi pemilihan DAP Pulau Pinang pada 24 Ogos.

“Soalan itu yang perlu tunggu sedikit masa.Saya pun tak tahu dicalonkan atau tidak, (kena) tunggu proses sampai peringkat itu iaitu pada 24 Ogos, katanya kepada media selepas merasmikan ‘Food Bayana’ di Bayan Lepas.

Lazimnya pengerusi DAP negeri akan memegang jawatan ketua menteri.

Bagaimanapun, kaedah itu tidak diikuti apabila Lim Guan Eng memegang jawatan ketua menteri selama dua penggal dari 2008 hingga 2018.

Baru-baru ini, Chow mendakwa ada cubaan menyingkirkannya susulan isu penjualan tanah milik kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Lim menggesa Chow membuktikan terdapat plot menjatuhkannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang sambil menambah dakwaan itu hanya akan mengalihkan fokus daripada mentadbir kerajaan negeri secara cekap, amanah dan telus.

Menurut Lim, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook juga tegas menjawab dakwaan itu dengan berkata tiada plot untuk menggantikan Chow sebagai ketua menteri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *