September 19, 2024

Mohd Shah Rizal Yang didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini atas tuduhan menikam pemilik rumah yang disewanya, minggu lalu.

PETALING JAYA: Seorang penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini atas tuduhan menikam pemilik rumah yang disewanya dalam kejadian di Kampung Lasah minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Shah Rizal Yang, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan, menurut Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Shah Rizal yang bekerja sebagai penoreh getah didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan pisau ke atas Muhammad Hairolnizam Osman, 44.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Lasah dalam daerah Sungai Siput Utara kira-kira 11 pagi pada 15 Ogos lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Timbalan Pendakwa Raya RS Vitthiyeswary yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 selain syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan perlu melapor diri dua minggu sekali di balai polis berhampiran.

Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah memohon jaminan paling minimum mengambil kira tertuduh yang hanya memperoleh pendapatan sekitar RM30 sehari.

Siti Hajar berkata anak guamnya juga masih bujang juga bersedia dengan syarat-syarat tambahan yang akan dikenakan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai serta melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali.

Mahkamah turut menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.

Media sebelum ini melaporkan tertuduh ditahan polis pada hari kejadian selepas menerima laporan daripada mangsa.

Siasatan polis mendapati kejadian disebabkan tunggakan sewa yang banyak dan mangsa meminta tertuduh agar mengosongkan rumah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *