September 19, 2024

TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah

Alor Gajah: Pelabur mata wang asing dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini atas pertuduhan membunuh guru, Istiqomah Ahmad Rozi,33, Disember lalu.

Tertuduh, Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa 10.45 pagi, di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berasal dari Medan Klebang Mewah, Chemor, Perak kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu melakukan bunuh terhadap Istiqomah di tepi jalan Kampung Tanjun Rimau Luar, Pulau Sebang, di sini, antara 26 Disember 2023 hingga 31 Disember 2023.

Jika disabitkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara minimun 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim, dibantu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azfar Mahmod dan Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu bagi mendapatkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat.

Muhammad Nazrin turut membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh mengikut peruntukan Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah.

Majistret Dr Teoh kemudian menetapkan 22 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh.

“En Mohd Fadzly, awak boleh hubungi keluarga selepas ini untuk melantik peguam (mewakili kes),” katanya.

Terdahulu, ahli keluarga mangsa tiba dari Kota Masai, Johor, pada 9.45 pagi dan sebahagian daripada mereka dilihat memasuki kamar mahkamah dan mengikuti pendakwaan kes itu.

Biras mangsa yang enggan dikenali berkata, mereka datang dari Pasir Mas, Kelantan dua hari lalu sebelum bermalam di rumah arwah di Kota Masai.

Ketika ditanya apa perasaan berikutan kes berkenaan akhirnya dituduh di mahkamah selepas lapan bulan kehilangan arwah, beliau berkata, “Kami datang nak tunggu dan dengar pertuduhan, nak tengok guano.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *