September 19, 2024

Johor Bahru: Bapa mangsa pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim, Irfan Wafiy Idham Wazir, 17, yang menderita Myokymia, menafikan masalah kesihatan anaknya ketika kecil menjadi faktor mendorong dia diserang penyakit itu ketika insiden pencemaran Sungai Kim Kim berlaku pada 2019.

Myokymia ialah sejenis penyakit yang menyebabkan beberapa anggota badan terutama kaki menggeletar serta lemah dan terpaksa bergantung kepada tongkat untuk bergerak.

Bapa Irfan Wafiy, Idham Wazir A Wahab, 53, berkata, anak itu mempunyai sejarah masalah kekejangan ketika masih kecil akibat demam panas, namun ia hanya berlaku sehingga usianya empat tahun.

Katanya, ketika kejadian pencemaran Sungai Kim Kim yang menyebabkan anaknya sukar bernafas, sakit kepala dan pitam itu, Irfan Wafiy berusia 11 tahun dengan menjalani kehidupan aktif termasuk gemar berenang dan aktiviti ‘rock-climbing’.

Idham Wazir yang juga saksi plaintif pertama itu berkata demikian ketika disoal balas Peguam Kanan Persekutuan, Mohamed Azzam Zainal Abidin yang juga Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.

Mohamed Azzam mewakili defendan membabitkan Kerajaan Johor, Menteri Besar dan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor.

Peguam: Tiada dapatan jelas yang keadaan Irfan Wafiy adalah disebabkan sepenuhnya gas-gas yang tercemar ketika insiden berkenaan.

Idham Wazir: Tak setuju.

Peguam: Saya cadangkan kesimpulan diberi doktor dalam laporan berkenaan adalah tidak konklusif.

Idham Wazir: Tak setuju.

Peguam: Bolehkah Encik Idham sahkah Irfan Wafiy adalah bayi pra-matang?

Idham Wazir: Betul.

Peguam: Irfan juga pernah diintubasi selepas kelahirannya?

Idham Wazir: Betul.

Peguam: Irfan Wafiy juga mempunyai sejarah sawan untuk satu tempoh yang agak lama?

Idham Wazir: Lama itu berapa lama maksudnya?

Peguam: Satu pertiga daripada kehidupannya?

Idham Wazir: Tak setuju. Saya tidak bersetuju dengan perkataan ‘sawan’ itu. Irfan tidak menghidap sawan cuma dia seperti anak kecil lain yang akan mengalami kekejangan apabila demam terlalu panas. 

Peguam: Saya cadangkan keadaan kesihatan yang sememangnya ada pada dia mungkin ada kesan kepada kesihatannya ketika hari kejadian.

Idham Wazir: Tak setuju. Mengikut laporan, masalah kesihatan Irfan Wafiy itu sehingga dia berusia empat tahun saja dan dia sudah tak alami lagi kekejangan selepas itu. Namun kejadian pencemaran itu berlaku pada usia Irfan Wafiy 11 tahun.

Peguam: Berdasarkan laporan, ia tidak secara konklusif mendapati bahawa Myiokymia disebabkan oleh Irfan Wafiy menghidu sisa toksid atau gas beracun ketika kejadian itu.

Idham Wazir:Tak setuju.

Sambungan perbicaraan kes saman sivil RM30 juta yang sedang berlangsung itu adalah perbicaraan sesi kedua, selepas ia mula dibicarakan pada Januari lalu, dan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Seri Samsulbahri Ibrahim.

Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan disambung semula pada hari ini dan esok serta 14 dan 15 Oktober depan.

Idham Wazir bersama 41 lagi plaintif kes itu diwakili peguam, Datuk Kamaruddin Ahmad, Walter Pereira dan Radiah Karim.

Peguam Kanan Persekutuan, Zetty Zurina Kamaruddin Nurul Farhana Khalid dan Safiyah Omar pula mewakili Pengarah Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kerajaan Malaysia.

Sebelum ini, Jawatankuasa Bertindak Mangsa Gas Toksik Sungai Kim Kim dan Keluarga Mangsa Kes Toksik dilaporkan akan menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada 12 defendan termasuk Kerajaan Johor dan Menteri Besar.

Ganti rugi itu membabitkan ganti rugi am dan khas, selain ganti rugi membabitkan tuntutan ke atas Irfan Wafiy, mangsa paling teruk terjejas yang kini menderita Myokimia menyebabkan sarafnya terganggu dan terpaksa bergantung pada tongkat, akibat kesan pencemaran sisa toksik pada Mac 2019.

Antara defendan lain yang akan disaman ialah Exco Alam Sekitar, JAS, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan P Tech Resources Sdn Bhd, syarikat yang membuang sisa toksik itu.

Kejadian pencemaran sisa bahan kimia pada 13 Mac 2019 itu menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac mengejutkan negara apabila 947 orang dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail (HSI).

Pada 17 Julai tahun lalu, pihak mangsa memfailkan saman sivil itu berjaya menafikan permohonan defendan, P Tech Resources Sdn Bhd, untuk mengetepikan saman sivil yang mula difailkan pada 2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *