November 23, 2024

Pernah bercinta sebelum ikatan terlerai, namun faktor itu bukan penghalang untuk pasangan pelakon, Aedy Ashraf dan Amelia Henderson, kekal berkawan.

Justeru, bagi Aedy tidak timbul dakwaan konon hubungan baik mereka dilihat seperti bermain tarik tali, seolah-olah masih tidak dapat dipisahkan.

Menjawab persoalan itu, Aedy menjelaskan, tiada apa yang perlu dipersoalkan berhubung status mereka. Baginya, sudah terang lagi bersuluh mereka bukan lagi pasangan kekasih.

“Sebelum ini pun kami sudah beri kenyataan antara kami sudah tiada apa-apa hubungan.

“Rasanya, status kami sudah jelas dan tidak ada apa yang perlu saya ulas mengenainya,” katanya ditemui pada penggambaran babak akhir filem Kahar: Kapla High Council di sebuah premis acara di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Biarpun percintaan mereka terlerai di tengah jalan, bagi Aedy atau nama sebenar, Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 31, ia bukan halangan untuk mereka bersikap profesional.

“Kami masih berkawan baik tanpa membabitkan perasaan. Biarlah status itu kekal di situ. Saya juga tiada masalah untuk bekerjasama dengan Amelia,” katanya.

Sebelum ini, Amelia dalam sesi siaran langsung di TikTok memaklumkan hubungannya dengan Aedy sudah berakhir.

Sementara itu, Aedy mendedahkan pernah menjadi mangsa buli rakan sebaya ketika di zaman persekolahan.

Aedy tidak menolak antara punca dia menjadi sasaran adalah kerana status sebagai pelakon.

“Saya pernah dibuli ketika belajar dalam darjah lima dan enam. Saya fikir mereka yang suka buli bukan ada sebab.

“Mereka buat begitu kerana mahu berseronok dan tunjuk hebat. Mungkin juga sebab saya budak baik di sekolah dan status saya sebagai pelakon menyebabkan mereka suka buli saya,” katanya.

Berkongsi cara dia dibuli, aktor bertubuh sasa itu memberitahu, si pelaku meminta duit daripadanya dengan menggunakan kekerasan.

“Ada buli fizikal, Alhamdulillah, tidaklah seteruk mana. Budak itu ‘pau’ (curi) duit saya RM2 setiap hari.

“Mujur saya ada duit ketika itu. Tetapi, ada suatu hari saya tidak bawa duit ke sekolah. Insiden itu menimbulkan kemarahan kepada individu terbabit dan mula dia buli saya.

“Apa-apapun, itu cerita lama,” katanya.

Aedy menyifatkan pengalaman dibuli itu memberi kesedaran mengenai kepentingan mempelajari seni mempertahankan diri.

“Saya jadikan pengalaman dibuli itu sebagai suatu cara untuk kekal positif dengan belajar seni mempertahankan diri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *