November 24, 2024

Pelakon Mimi Lana terkilan dengan pelbagai komen negatif dilemparkan netizen mengenai hubungannya bersama aktor Syafiq Kyle yang dipercayai sudah kembali bertaut.

Mimi yang meluahkan perkara itu di Instagram (IG) mengakui sedar mengenai komen negatif diterima apabila ada individu menganggap kisah percintaan mereka yang menjadi sorotan media sejak akhir-akhir ini agak merimaskan.

Bagaimanapun, pelakon berusia 28 tahun itu menyifatkan urusan mengenai jodohnya adalah di bawah aturan Allah.

“Saya ada terbaca segelintir individu yang rimas dengan berita mengenai hubungan saya kerana sekejap jadi, kemudian tidak.

“Ada yang sampai keluarkan kata-kata dan doa tidak baik terhadap saya. Urusan jodoh, ajal dan maut ini bukanlah dalam tangan saya.

“Terdetik dalam hati saya, mereka yang mempersoalkan urusan hubungan saya seolah-olah mempersoalkan kerja Tuhan,” tulis Mimi.

Mimi atau nama penuhnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin memberitahu, dia tidak berniat menjadikan kisah percintaannya sebagai tatapan umum.

“Kami manusia biasa, sama seperti semua orang diuji dengan pelbagai dugaan. Biarlah ujian ini kami simpan sebaik-baiknya dan tidak dicanang kerana yakin kami sudah berusaha untuk menjadi manusia lebih baik daripada semalam.

“Kalau tidak ditanya, kami sendiri tak mahu bercakap soal hubungan cinta kepada orang ramai.

“Kami tidak dapat menepis setiap kali keluar dan ditanya oleh rakan-rakan media, namun saya menghormati mereka. Mungkin urusan jodoh mereka dipermudahkan oleh Allah,” tulisnya.

Pada masa sama, Mimi turut memohon maaf sekiranya cerita mengenai hubungan percintaannya mengganggu kehidupan seharian mana-mana pihak.

“Maafkan kami jika berita mengenai kehidupan peribadi menggangu urusan harian kalian semua.

“Saya memanjatkan rasa syukur kepada yang mendoakan berkenaan jodoh saya. Semoga segala doa yang baik berbalik kepada anda semua yang mendoakan.

“Saya tetap mendoakan yang terbaik dan berharap Allah tutup mata kalian daripada membaca berita tentang kami yang membuatkan hari anda tidak senang.

“Alhamdulillah, saya doakan mereka terus kecapi rasa bahagia itu. Semoga Allah permudahkan segala urusan dan terus membimbing saya menjadi manusia yang lebih baik,” tulis Mimi yang ketika ini sedang mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah.

Terdahulu, Syafiq atau nama sebenar, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 32, dilapor membuat pengakuan bahawa hatinya sudah ditakluk Mimi dan menunggu masa sesuai untuk melamar wanita pilihannya itu.

Syafiq dan Mimi sebelum ini pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga pada 18 Ogos 2023, namun, majlis perkahwinan itu dibatalkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *