November 23, 2024

Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pekan hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pekan Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, Muhyiddin dalam satu ceramah telah mengeluarkan kenyataan yang menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu, selaku individu berpengalaman dalam bidang politik, tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan menyentuh institusi diraja dan perlu menjadi contoh yang baik kepada pemimpin muda.

“Isu ini tidak seharusnya timbul dan beliau sepatutnya lebih berhati-hati,” katanya kepada Bernama di Balai Polis Paloh Hinai di sini hari ini.

Mohd Fakhrul berkata, laporan itu dibuat antara lain bagi mempertahan Kesultanan Pahang dan menuntut tindakan tegas dikenakan terhadap Muhyiddin agar isu sama tidak berulang terutama menjelang PRK DUN Mahkota.

Terdahulu, laporan polis itu dibuat oleh Pengerusi Biro Putera Pergerakan Pemuda Umno Muhamed Haekal Mohamed Nasrudin dan Setiausaha Pergerakan Puteri Umno Nur Hidayah Abd Rahim.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam hantaran di laman Facebook pula menzahirkan rasa kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

“Sebagai mantan Perdana Menteri, Muhyiddin tidak sepatutnya mengheret institusi istana dalam kempen politiknya yang sempit semata-mata untuk meraih undi dan mengaburi rakyat tentang apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15,” kata Menteri Besar Pahang itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *