December 18, 2024

PUTRAJAYA: Bekas pengurus syarikat binaan dan perkhidmatan terlepas tali gantung selepas Mahkamah Rayuan hari ini menggantikan hukuman mati itu kepada penjara 30 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh teman wanitanya warga Indonesia dengan 28 tikaman, enam tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Hadhariah Syed Ismail dalam keputusan sebulat suara mengekalkan sabitan terhadap Sobri Abdul Wahab, 46, bagi kesalahan itu dan memutuskan rayuan perayu tidak mempunyai merit.

“Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam mensabitkan kesalahan terhadap perayu (Sobri). Mahkamah juga mendapati ketidakwarasan perayu ketika kejadian tidak dapat dibuktikan dan oleh itu, sabitan adalah selamat dan dikekalkan,” katanya yang bersidang bersama-sama Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin.

Bagaimanapun, Hadhariah mengetepikan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Dis 2021 dan menggantikan kepada hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan serta memerintahkan perayu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 10 Mac 2018.

Berikutan pindaan ke atas Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun ke atas pesalah jika tidak dijatuhkan hukuman mati. Pesalah lelaki juga hendaklah dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Sobri didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2021 kerana membunuh pembantu kantin sekolah Gusnima, 38, di sebuah pangsapuri di Seksyen U8, Bukit Jelutong di sini antara 6 petang hingga 8 malam, 10 Mac 2018, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, peguam K A Ramu yang mewakili Sobri berkata anak guamnya itu tidak waras dan tidak mengambil ubat ketika kejadian namun Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee membantah bahawa lelaki itu tidak waras apabila bertindak membunuh kekasihnya itu.

“Ketika kejadian perayu berkelakuan biasa dan waras,” kata Ng.

Dalam prosiding itu, perayu turut diwakili peguam Khairul Naim Rafidi dan Farida Mohammad.

Media sebelum ini melaporkan Gusnima yang berasal dari Medan, Indonesia dan bekerja sebagai pembantu kantin sekolah, ditemukan maut dengan 28 kesan tikaman di dapur rumah sewanya di Bukit Jelutong di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *