November 18, 2024

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi diberitahu Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mahu ‘memeriksa’ rumah Amri Che Mat pada 2015 kerana mengesyaki aktivis yang hilang itu adalah pengikut ajaran Syiah.

Bekas ketua polis Perlis, Noor Mushar Mohd berkata Asri meminta polis mengiringi pegawai jabatan agama ke rumah Amri pada 21 Okt 2015 bagi menjaga keamanan dan memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

“Beliau (Asri) berkata beliau mahu mencari Amri kerana dia terlibat dengan Syiah.

“Apa-apa boleh berlaku seperti di Memali. Mereka (jabatan agama) perlukan kami untuk menjadi pengiring bagi memastikan keselamatan pegawai mereka.

“Pengikut Syiah taksub dengan ajaran mereka dan akan lakukan apa sahaja untuk mempertahankan kepercayaan mereka,” kata Mushar yang merujuk tragedi rusuhan pada 1985 di Kampung Memali di Baling, Kedah di mana 14 penduduk kampung dan empat anggota polis terbunuh.

Mushar memberi keterangan dalam saman difailkan isteri Amri, Norhayati Ariffin, terhadap polis dan kerajaan berhubung cara siasatan pihak berkuasa dalam kehilangan aktivis itu.

Norhayati mendakwa para defendan melanggar undang-undang dan tugas statutori, melakukan misfeasans semasa menjawat jawatan awam, dan cuai ketika menjalankan tugas.

Ketika disoal balas peguam Norhayati, Surendra Ananth, Mushar berkata beliau melihat Norhayati tetapi tidak pasti adakah anak-anak Amri berada di rumah ketika polis dan Asri datang ke kediaman itu.

Surendra: Mufti bimbang isteri Amri dan anak-anaknya akan mengambil senjata dan bertindak agresif?

Mushar: Saya berada di sana untuk menghalang sebarang insiden tidak dijangka daripada berlaku. Ia bukan mengenai isteri atau anak-anak.

Peguam itu kemudiannya mengasak Mushar dan bertanya sama ada Asri berkata Norhayati dan anak-anaknya akan menjadi agresif.

Mushar: Beliau (Asri) tidak kata seperti itu, tetapi pengikut Syiah obsesif.

Surendra: Adakah kamu ‘bias’ terhadap pengikut Syiah?

Mushar berkata sebagai bekas anggota polis beliau tidak pernah berat sebelah terhadap mana-mana agama dan melakukan yang terbaik dalam khidmat kepada masyarakat.

Selain Mushar, tiga lagi pegawai polis – Farah Hanum Haron, Abdul Hadi Abdul Halim dan Nor Baiti Mustafa – juga memberi keterangan.

Farah memberitahu mahkamah beliau menerima laporan Norhayati mengenai kehilangan Amri pada 25 Nov 2016.

Sementara itu, Baiti berkata beliau kali pertama ditugaskan menyiasat kes Amri apabila kenderaan pacuan empat roda lelaki itu ditemui ditinggalkan di Bukit Cabang, Padang Besar dengan cermin depan pecah.

Bagaimanapun, Baiti memberitahu mahkamah beliau tidak ada bukti mengaitkan kehilangan kenderaan itu dengan kehilangan Amri kerana tiada bukti bahawa lelaki itu memandu kenderaan tersebut sebelum ia ditinggalkan.

Pendengaran di hadapan Hakim Su Tiang Joo bersambung pada 12 dan 13 Jun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *