October 18, 2024

Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, MCA menegaskan parti itu tidak akan berkempen di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sekiranya calon dipertandingkan bukan daripada Barisan Nasional (BN).

Keputusan itu dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang berlangsung di ibu pejabat parti itu hari ini.

“Jawatankuasa mengadakan mesyuarat dan membincangkan mengenai PRK DUN Kuala Kubu Bharu yang akan diadakan di Selangor.

“Selepas pertimbangan teliti, keputusan sebulat suara jawatankuasa sekiranya calon yang dicadangkan itu bukan ahli mana-mana parti komponen BN, maka MCA tidak akan menyertai sebarang usaha kempen,” kata jawatankuasa itu melalui kenyataan hari ini.

Sebelum ini, MIC yang juga parti komponen BN juga dikatakan tidak akan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Bharu yang dijadual berlangsung 11 Mei ini.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *