December 18, 2024

 DAP mengharapkan semangat yang ditonjolkan parti itu ketika berkempen bagi kemenangan calon Barisan Nasional (BN) daripada UMNO ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Bentong, Pahang pada Oktober lalu, dapat ditunjukkan ketika PRK DUN Kuala Kubu Bharu nanti.

Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming, berkata peranan dimainkan DAP yang berhempas-pulas ketika kempen PRK Pelangai lalu, berhasil meraih 98 peratus undi masyarakat Tiong Hua atau Cina di kawasan yang dijaga parti itu walaupun calon BN ketika itu daripada UMNO.

Katanya, justeru diharapkan budi dan semangat yang sama dapat ditonjolkan pada PRK Kuala Kubu Baharu nanti iaitu agar BN khususnya UMNO dapat melakukan perkara serupa berikutan calon pada PRK itu nanti dari DAP.

“Saya mohon budi, sekiranya semangat ini kita sudah ditonjolkan di Pelangai maka ia dapat ditunjukkan juga di Kuala Kubu Baharu. Sebagaimana DAP berkempen habis-habisan untuk UMNO sehingga menang, UMNO juga akan buat yang sama, iaitu buat baik untuk balas budi.

“Kawasan yang kami (DAP) jaga berjaya meraih 98 peratus undi khususnya pengundi kaum Tiong Hua yang memilih, menyokong wakil UMNO yang mana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah apabila UMNO (sebelumnya) tak pernah dapat 98 peratus undi Cina.

“Tetapi dengan semangat perpaduan ini, kejayaan ini adalah satu rekod yang boleh dibanggakan dan kita harap ianya juga berlaku di PRK Kuala Kubu Baharu nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pintu Gerbang Kampung Baru Batu Dua, di sini, hari ini sempena lawatan kerjanya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kor Ming yang juga Naib Pengerusi DAP, berkata pihaknya berterima kasih susulan komitmen tidak berbelah bagi yang diberikan oleh Presiden serta Timbalan Presiden UMNO menyeru agar parti komponen BN perlu membantu calon dalam Kerajaan Perpaduan yang bertanding pada PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei nanti.

Katanya, begitu juga dengan MIC yang pada semalam dilapor turut menyatakan komitmen serupa untuk berkempen bagi mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK 11 Mei nanti.

“MIC sudah berikan komitmen untuk berkempen yang mana ini sudah disahkan oleh Perdana Menteri semalam apabila Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menelefon beliau dan memberikan akujanji MIC untuk turun berkempen mewakili kerajaan perpaduan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan mengenai tindakan MIC dan MCA yang dikatakan akan memboikot atau tidak turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Ia susulan dua parti komponen BN itu dikatakan tidak mahu terbabit dalam kempen PRK itu sekiranya kerusi berkenaan tidak ditandingi calon dari parti komponen BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu depan sebelum hari pengundian pada 11 Mei ini.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong dari DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *