PAS mengikuti rapat isu Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) Wilayah Utara yang telah membuat laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di mana beliau dikatakan telah menyalahguna kuasa dalam isu pembayaran bantuan perayaan bagi pekerja-pekerja bank.
Menurut Pengerusi NUBE Wilayah Utara, Abdul Jamil Jalaludeen, rundingan berhubung pembayaran bantuan itu hanya dilakukan oleh Steven Sim dan Persatuan Bank-Bank Perdagangan Tanah Melayu (MCBA) tanpa penglibatan NUBE. Ditambah pula, tindakan Steven Sim membenarkan pemberian bantuan khas perayaan pada kadar setengah bulan gaji serta secara one-off adalah bertentangan dengan Memorandum Perjanjian Bersama MCBA yang ditandatangani mereka pada 5 April tahun lalu.
Tindakan Menteri ini didakwa telah menjejaskan kira-kira 15,000 pekerja bank yang terdiri daripada golongan B40 dan M40. PAS memuji tindakan berani NUBE yang terus melaporkan salah laku biarpun melibatkan individu berpangkat Menteri. Justeru, PAS menyokong gesaan NUBE agar siasatan segera dilaksanakan ke atas Menteri ini. Sekiranya terbukti bersalah, tindakan tegas perlu dikenakan ke atas beliau dan pihak yang terlibat.
Jika di dalam isu guru-guru PASTI yang merupakan sukarelawan parti pun kerajaan boleh membuat siasatan dan tekanan atas nama keadilan dan perikemanusiaan kononnya, kita yakin keadilan terhadap pekerja-pekerja bank ini juga tidak akan dipandang ringan oleh pihak kerajaan.
“Adil, Prihatin, Berkebajikan”
YB Ahmad Fadhli Shaari
Ketua Penerangan
PAS Pusat