December 18, 2024

Nama suaminya, Datuk Seri Mahadi Zaman terpalit tuduhan gagal menyiapkan rumah pelakon Fathia Latiff, aktivitis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi berkata dia tidak terkesan dengan dakwaan palsu itu.

Memetik Kosmo, Heliza berkata dia tidak tahu motif pelakon tersebut namun memahami keadaan serta kesihatan mental Fathia serta beranggapan mungkin pelakon itu sedang diuji.

“Saya tidaklah mengenali Fatiya secara rapat dan tapi bila dia keluarkan kenyataan macam itu, saya rasa satu Malaysia sudah faham keadaan dia.

“Jadi tanpa perlu saya mengeluarkan apa-apa kenyataan sekalipun, orang akan faham dan pada saya mungkin ini adalah masa dia diuji dan apa yang diperlukan adalah doa dari seluruh mukmin,” katanya.

Sementara itu, Heliza berkata dia tidak akan mengambil tindakan undang-undang namun ianya bakal berubah jika perkara tersebut tidak berkesudahan.

“Saya tidak rancang untuk mengambil tindakan undang-undang sebab apa yang diperkatakan adalah tidak betul sama sekali.

“Di pihak saya, saya yakin semua orang faham keadaan dan saya dan suami memaafkan perbuatannya itu.

“Saya rasa dia tidak perasan situasi ketika itu, mungkin dia khilaf tapi sekiranya perkara ini berlarutan, lain pula ceritanya kelak. Lagipun suami saya memang tidak mengenali dia,” katanya.

Terdahulu, Fathia mendakwa dia rasa tertipu selepas syarikat milik Mahadi gagal menyiapkan rumah yang dibelinya sejak lima tahun lalu dan perlu membayar ansuran RM2,000 namun rumah dijanjikan masih tiada bayang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *