September 20, 2024

Dua lelaki ditahan polis selepas disyaki mencuri 12 lembu di Felda Pasoh Tiga di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, polis menerima laporan daripada pemilik lembu itu pada 1.37 tengah hari semalam.

“Polis menjalankan siasatan dan menangkap dua suspek berusia 42 serta 45 tahun yang dipercayai terbabit dengan kejadian itu.

“Modus operandi digunakan suspek ini ialah menyumpit ubat pelali bagi melemahkan lembu sebelum dilarikan menggunakan lori,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Hoo berkata, lima lembu yang hilang ditemukan semula di kandang di rumah seorang daripada suspek manakala baki lembu lain dijual kepada kenalannya.

“Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini. Polis juga giat mengesan seorang lagi ahli sindiket yang masih bebas.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *