December 18, 2024

MUNGKIN kewujudan Litar Drag perlu dipertimbangkan semula memandangkan ia terus menjadi medan maut untuk pelumba. Kes terbaharu membabitkan peserta Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 yang meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih 12 jam akibat kemalangan.

Hattem Rashdi berusia 22 tahun terbabit kemalangan pada hari pertama perlumbaan pada 1 pagi Ahad lalu di Pekan, Pahang, selepas motosikal ditungganginya terbabas.

Beliau yang mewakili ESR Motor dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan memandangkan keadaannya makin tenat.

Pemilik ESR Motor, Adib Affandi Mohamad memaklumkan Hattem disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang hari ini dan jenazahnya akan dibawa ke kampung halaman di Alor Janggus, Kedah untuk urusan pengebumian.

“Allahyarham adalah pelumba litar drag yang berbakat dan menjadi penunggang kepada ESR Motor sejak dua tahun lalu.

“Difahamkan, jentera yang ditunggangi Allahyarham berhadapan masalah teknikal sebelum terbabas,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Kematian membabitkan pelumba drag bukannya kali pertama kerana pada Battle of The King (BOTK) 2022 yang berlangsung di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Terengganu, Oktober tahun lalu menyaksikan seorang pesertanya maut ketika perlumbaan.

Kemudian, dua bulan kemudian, seorang pengusaha bengkel kenderaan pula maut selepas dirempuh sebuah kereta lumba ketika menyaksikan pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak.

Jika ianya mendatangkan lebih banyak mudarat dari kebaikan maka kewujudan Litar Drag perlu dipertimbangkan semula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *