November 18, 2024

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno membidas Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor memegang lapan portfolio sedangkan beliau sepatutnya mengehadkan kepada dua tugas utama saja membabitkan dasar dan hala tuju negeri.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi menyifatkan ia keterlaluan untuk menteri besar di negeri yang banyak ketinggalan memegang portfolio sebanyak itu.

“Sepatutnya Sanusi fokus kepada dua portfolio penting, iaitu tanah dan galian serta kewangan. Ini portfolio yang perlu ada kawalan dari segi dasar dan hala tuju negeri.

“Mampukah Sanusi fokus buat kerja. Jangan lupa kerana kesibukan, dia selaku pengerusi MBI (Perbadanan Menteri Besar) Kedah tidak sedar unsur nadir bumi (REE) dicuri,” katanya kepada FMT sambil menegaskan kontroversi di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik itu membuktikan Sanusi lalai.

Adun Jeneri itu memegang tujuh portfolio pada penggal terdahulu.

Beliau mengekalkan portfolio perancang negeri; hal ehwal tanah, mineral dan geosains; hasil bumi; kewangan; syarikat berkaitan kerajaan; majlis tindakan ekonomi negeri serta pembangunan Kedah 2035, dengan tambahan portfolio kerjasama luar.

Selain Sanusi, enam lagi exco Kedah datang daripada PAS, manakala Bersatu (3) dan Gerakan (1).

Puad tertanya-tanya tindakan Sanusi memikul tanggungjawab sebesar itu mungkin kerana beliau tidak mahu menambah jawatan untuk exco Bersatu.

“Pokoknya, Sanusi menonjolkan dirinya sebagai ketua negeri yang tidak tahu mengagih tugas dan menyekat kepelbagaian idea. Besar kemungkinan ketidaktelusan dan kurang pemantauan akan berlaku.”

Media sebelum ini melaporkan desas-desus ahli Bersatu Kedah tidak berpuas hati kerana hanya diberikan tiga jawatan exco berbanding lima, termasuk speaker DUN sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *