KUALA LUMPUR : Tiga trofi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 diraih gadis ini bukanlah indikator dirinya gah di puncak kemasyhuran.
Sebaliknya, Anna Jobling, 23, yang diumum BBNU Wanita Popular, Aktres TV Popular dan Couple TV Popular bersama Meerqeen pada ABPBH 35, bulan lalu, bertekad terus bekerja keras mengukuhkan tapak di pentas seni.
Terus bekerja menjadi prinsip dipegang aktres popular, Anna Jobling demi memastikan perjalanan karier seninya pada usia muda mampu menatijahkan hasil terbaik.
Anna mahu terus konsisten memberikan hasil kerja terbaik dalam setiap tugasan atau ‘job’ dilakukan.
Justeru, aktres berdarah kacukan Melayu-Inggeris-Portugis itu terus memberanikan diri mencuba pelbagai perkara baharu, selain menolak kekal dalam zon selesa.
Anna atau nama sebenar, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman berkata, masih banyak cabang seni yang mahu diterokai.
“Pada usia 23 tahun masih banyak yang saya mahu capai. Saya simpan hasrat berlakon filem, berkecimpung dalam dunia fesyen dan mengusahakan perniagaan.
“Saya mahu terus bekerja. Walaupun mungkin ada sesetengah orang anggap saya masih muda, tetapi, saya tidak mahu bazirkan masa.
“Usia saya akan meningkat. Jadi, mengapa tidak saya manfaatkan masa ini untuk terus berusaha dan kejar apa yang diimpikan,” katanya kepada BH Online.
Sebagai langkah mengukuhkan kedudukannya dalam dunia lakonan, Anna tidak mahu terikat dengan naskhah cinta sahaja.
“Saya mahu jayakan watak berbeza daripada apa yang pernah dibawa. Saya mahu terbabit dalam naskhah yang bukan berkisar cinta sahaja.
“Saya mahu cari kelainan, mungkin dengan melakonkan watak aksi atau seram dan banyak lagi,” katanya ditemui pada majlis sambutan hari jadinya yang ke-23 di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.
Anna bersyukur ibu dan bapanya sentiasa menjadi sistem sokongan terkuat.
“Saya sangat bersyukur apabila dikurniakan ibu dan bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada saya sepanjang membawa diri sebagai anak seni.
“Mereka tidak pernah membiarkan saya sendiri, malah terus menjadi sumber kekuatan saya.
“Ini adalah antara anugerah yang saya sangat hargai. Mereka adalah sistem sokongan saya yang sangat kuat,” katanya.
Terbaru, Anna bakal terbabit dalam penggambaran drama lapan episod di Indonesia yang akan disiarkan di platform penstriman atau Over The Top (OTT).
Pada ABPBH 35, drama lakonan Anna dan Meerqeen, Melur Untuk Firdaus turut diumum Drama Popular bagi kategori sampingan, Ekstra!