September 20, 2024

ANTARA lapan wanita warga asing termasuk dipercayai penjawat awam negara jiran yang ditahan polis dalam tujuh serbuan di sekitar daerah Timur Laut, di sini, kerana disyaki terbabit dengan aktiviti persundalan. FOTO Ihsan PDRM

Georgetown: Wanita mendakwa kakitangan kerajaan di negara jiran antara lapan wanita warga asing yang ditahan polis kerana disyaki terbabit aktiviti persundalan. 

Aktiviti kesemua wanita berkenaan dibongkar menerusi tujuh serbuan yang dijalankan di beberapa lokasi dekat sini, Jumaat lalu. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan antara 6 petang hingga 10 malam itu membabitkan beberapa premis seperti hotel bajet, rumah tumpangan dan apartment di sekitar daerah Timur Laut.

Soffian berkata, selain wang tunai RM2,200 yang dirampas, polis menemukan beberapa peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti itu. 

“Seramai lapan wanita warga asing itu berusia antara 25 hingga 47 tahun dan masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.

“Mereka didapati mencari pelanggan menerusi aplikasi WeChat dengan mengenakan kadar bayaran antara RM150 hingga RM250 bagi perkhidmatan seks,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini. 

Terdahulu, laporan mengenai serbuan itu turut tular di media sosial yang mendakwa seorang daripada wanita terbabit adalah berstatus isteri kepada pegawai penjawat awam berpangkat tinggi di luar negara.

Menurut Soffian, siasatan mendapati seorang daripada wanita yang ditahan mengaku sebagai penjawat awam di sebuah negara jiran. 

Katanya, wanita itu mendakwa datang ke Malaysia bagi menjalankan aktiviti persundalan untuk memperoleh pendapatan tambahan. 

“Polis dalam usaha bagi mendapatkan pengesahan berkaitan maklumat itu daripada kedutaan negara berkenaan. 

“Mereka ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru bagi tindakan lanjut. 

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1959,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *