November 18, 2024

Intan Najuwa bersama suaminya.

Kota Tinggi: Pelakon, Intan Najuwa, 26, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Azraf Azman, 39, dalam majlis pernikahan di sebuah resort di Desaru Coast, di sini, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadut pada jam 6.45 petang dan sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz. 

Dalam majlis bertemakan empat unsur alam itu, Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abd Wahid menerima mas kahwin sebanyak RM20,000 dan hantaran berjumlah RM222,000.

Angka 2 menjadi pilihan kerana ia lambang tempoh dua tahun perkenalan pasangan itu. 

Pengantin lelaki turut menyerahkan lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh pengantin perempuan.

Majlis dihadiri kira-kira 150 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara, rakan selebriti dan pihak media.

Dalam majlis pernikahan yang jatuh pada hari kelahirannya, Intan dan suami tampl menawan dalam persalinan busana rekaan pereka fesyen terkenal, Fizi Woo berwarna putih.

Majlis berlangsung dalam suasana yang cukup tenang dan romantis berlatar belakangkan pemandangan pantai yang indah.

Awal tahun ini, timbul desas-desus mengenai pelakon drama Tak Sempurna Mencintaimu itu yang dikatakan sudah bertunang buat kali kedua dan akan melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.

Intan bagaimanapun tidak menafi atau mengiyakan perkara berkenaan sebaliknya memberitahu akan berkongsi berita gembira itu jika ada.

Pada Ogos 2019, Intan pernah bertunang dengan ahli perniagaan, Razrul Anwar Rusli, namun ikatan itu tidak bertahan lama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *