September 20, 2024

TAN Sri Razarudin pada sidang media selepas meninjau lokasi kejadian sebuah pesawat ringan terhempas di kawasan perumahan Elmina.

Shah Alam: Polis mengesahkan enam mayat nahas pesawat ringan yang terhempas di persiaran Elmina, di sini, ditemui setakat ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu daripadanya ditemui lengkap (full body) iaitu mayat penunggang motosikal yang rentung. 

Katanya, lima lagi mayat ditemui tidak sempurna berkemungkinan adalah penumpang dan kru pesawat serta pemandu sebuah kereta.

“Setakat ini, enam mayat kita jumpa dan pencarian membabitkan kawasan seluas satu ekar (0.4 hektar).

“Dalam pesawat ada lapan individu, (mangsa lain) seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal.

“Pemandu kereta ini kita tidak tahu sama ada dia pemandu e-hailing atau (sama ada) jika ada penumpang dalam kereta itu. 

“Kita tengah menghubungi waris terdekat tapi tiada siapa menjawab telefon,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, pasukan pencarian akan mencari mayat terlebih dahulu dan kotak hitam akan diuruskan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU). 

Katanya, pengambilan DNA waris mangsa akan dilakukan di Balai Polis Klang, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

“Operasi ini akan dilakukan berterusan 24 jam sehingga kesemua mayat nahas ditemui,” katanya.

Dalam insiden pada jam 2.50 petang itu, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat ringan terhempas di persiaran bandar Elmina, berdekatan Lebuhraya Gutrie dekat sini. 

Pesawat yang berlepas dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada jam 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat. 

Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas. 

Dalam tragedi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu yang disahkan berada dalam pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *