December 18, 2024

Keterujaan seorang wanita untuk mengundi kali pertama di pusat pengundian baharu selepas menukar alamat bertukar sebaliknya apabila sudah ada individu lain mengundi menggunakan maklumat dirinya.

Rozana Mokhtar, 35, berkata, dia ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Taman Mahsuri, di sini, pada jam 8.45 pagi tadi di saluran tiga.

Menurutnya, selepas masuk ke dalam, dia terus menyerahkan kad pengenalan namun pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas mula berasa pelik.

“Dia kemudian memaklumkan sudah ada orang yang menggunakan kad pengenalan saya untuk mengundi.

“Saya menjelaskan kepadanya bagaimana berlaku sedangkan saya belum mengundi dan menunjukkan kepadanya jari yang masih belum dicelup warna,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rozana berkata, pegawai terbabit meminta dia membuat laporan polis dan tetap tidak dapat mengundi.

“Saya agak kecewa kerana ini kali pertama hendak mengundi di tempat baharu kerana sebelum ini saya mengundi di kampung di Gunung Semanggol, Perak.

“Saya sudah menetap di Padang Serai ini sejak 10 tahun lalu dan kecewa tidak dapat mengundi hari ini,” katanya.

Dia juga sudah tampil membuat laporan di Balai Polis Padang Serai untuk tindakan selanjutnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *