November 17, 2024

Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) ketika berucap pada Program Ceramah dan Ramah Mesra Pengundi Kuang di Bro Misai Food Court, Kuang, malam tadi.

Oleh RAJMAH HASAN

Silap buat keputusan lagi, natijahnya bukan terpalit kepada penduduk Selangor sahaja, bahkan seluruh rakyat Malaysia, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Peringatan itu dinyatakan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kerana Selangor adalah nadi ekonomi negara memandangkan ia adalah negeri terkaya di Malaysia.

“Jangan ingat ini (pilihan raya negeri) nak pilih macam Akademi Fantasia. Jangan silap pilih lagi, sebab kita nak pilih parti berpengalaman yang akan bersama-sama Kerajaan Pusat untuk mentadbir negara!”.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, kesilapan dibuat semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRN14) lalu telah menyebabkan negara terjerumus dalam keadaan tidak menentu yang menyebabkan ekonomi negara merudum jatuh.

“Dalam satu penggal itu sahaja, kita bertukar tiga kerajaan dan tiga Perdana Menteri.

“Ketidakstabilan politik negara ketika itu menakutkan pelabur untuk membuat pelaburan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ceramah dan Ramah Mesra Pengundi Kuang Bersama Datuk Seri Mohamad Hasan di Bro Misai Food Court, Kampung Kuang, malam tadi.

Mohamad hadir memberi sokongan kepada Datuk Hasnal Rezua Merican, calon BN yang bersaing dengan Mohd. Rafiq Abdullah dari PN dan Sallehudin Amiruddin (Bebas) bagi merebut kerusi DUN N.13 Kuang pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan, berkata, sebelum 2018, ekonomi Malaysia kedua terkuat di rantau Asia Tenggara selepas Singapura, namun Malaysia kini berada di tangga kelima di belakang Vietnam.

“Bayangkan Vietnam, dulunya negara yang lama berperang selama 20 tahun kini ekonominya menjadi keempat terkuat di rantau ini dan berada di depan Malaysia,” katanya sambil memaklumkan Singapura masih mengekalkan ranking pertama, diikuti Indonesia dan Thailand.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Kerajaan Persekutuan yang dibentuk dengan gabungan BN-PH ketika ini telah ditubuhkan dengan majoriti dua pertiga iaitu sebanyak 148 kerusi.

Malah katanya, kedudukan Kerajaan Pusat juga semakin kukuh apabila Parlimen meluluskan Undang-Undang Antilompat Parti yang dilaksanakan di tujuh negeri, berkuat kuasa 5 Oktober tahun lalu.

Tujuh negeri tersebut ialah Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak.

“Undang-undang inilah yang akan melindungi mandat rakyat dalam pemilihan wakil rakyat,” katanya.

Beliau mengingatkan rakyat di enam negeri khususnya Selangor yang terlibat PRN agar tidak lagi terpedaya dengan politik kebencian dan bersifat hasutan.

Katanya, dakwaan mengatakan keputusan PRN ini dapat menggugat pentadbiran Kerajaan Pusat sama sekali tidak betul.

“Itu semua tohmahan yang direka untuk mengganggu konsentrasi dan memikat hati rakyat untuk buat silap lagi.

“Jangan buat silap berasaskan emosi…berasaskan sentimen…berasaskan fitnah…berasaskan tohmahan yang akhirnya terpedaya sehingga melantik pihak yang tidak ada kepakaran mengurus Selangor.

“Empat tahun setengah kita sudah bazirkan masa dengan pertelagahan politik, jadi jangan bazirkan masa lagi.

“Jangan hancurkan negara. Lepas PRN, kita fokus bangunkan negara pula,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga calon BN di DUN Rantau yakin Hasnal Rezua adalah calon terbaik untuk diangkat menjadi wakil rakyat di DUN N.13 Kuang.

“Bagilah kepercayaan kepada rakan-rakan kita termasuk Hasnal Rezua sebagai sebahagian untuk urus kerajaan Selangor bersama-sama,” katanya.

Mohamad berharap agar pemilihan kerajaan negeri baru diberikan kepada mereka yang telah terbukti ada rekod baik serta mempunyai kepakaran dalam mengurus negeri.

BN katanya parti yang berpengalaman luas dalam mengurus negara, manakala PH pula sudah tiga penggal mentadbir negeri Selangor.

PRN15 #PRNSelangor #Kuang #N13 #TetapSayang #HRM #Perpaduanready #kitaselangor #DemiKestabilan #DemiKemakmuran #Hasnal #HasnalKuang #CalonNo1 #HasnalSatu #HRM1 #SuaraKuang #KuangKuSayang

BandarTasikPuteri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *