December 18, 2024

Datuk Hasnal Rezua Merican (tengah bertopi) bersama sebahagian penduduk Kampung Baru Kundang semalami.

Oleh Lea Azalea

Hak milik tanah dan bayaran premium tanah antara isu utama membelenggu penduduk Kuang.

Di Kampung Baru Kundang misalnya terdapat kira-kira 30 penduduk belum mendapat hak milik tanah yang diduduki sejak lebih 20 tahun lalu.

Dua isu itu akan diketengahkan wakil penduduk kepada wakil rakyat Kuang yang baru kelak.

Abdul Talib Abd. Rashid, 69, berkata, isu itu sudah berlanjutan sejak 2005, namun ia masih belum selesai biar pun bancian telah dibuat pada 2018.

“Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor ada rekod permohonan kami,” katanya yang juga Ketua UMNO Cawangan Kundang Muhibah.

Terdahulu Abdul.Talib ditemui Malaysia Hot selepas program lawatan calon bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican ke Kampung Baru Kundang semalam..

Turut mengiringi lawatan Hasnal Rezua yang juga Ketua UMNO Bahagian Selayang ialah Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Selayang, Salasiah Desa.

Sementara itu, Abdul Talib berkata, kadar premium tanah meningkat dari RM18 sekaki persegi kepada RM25 sekaki persegi.

Fauziah Lubis, 50, pula berkata, kadar premium yang sangat tinggi itu menghalang urusan permohonan hak milik tanah.

Lebih-lebih lagi suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori, manakala dirinya suri rumah.

“Kami merayu, jika Datuk Hasnal Rezua menang, datuk dapat bantu selesaikan masalah ini,” kata ibu kepada lima anak itu

Seorang lagi penduduk, Mohd. Faizal Khosal Khan, 40, pula kesal dengan kerenah birokrasi pihak bertanggungjawab.

“Bancian tanah dah buat lima tahun lepas, tapi senyap dan bila follow up, mereka bagi alasan dokumen tak lengkap,” katanya.

Dia yang bekerja kilang berharap Hasnal Rezua yang juga seorang peguambela dan peguamcara dapat membela nasib penduduk.

‘”Harapan kami agar Datuk (Hasnal Rezua) menang sebab beliau seorang peguam dan dapat bantu selesaikan masalah ini,” katanya.

PRN15 #PRNSelangor #Kuang #N13 #TetapSayang #HRM #Perpaduanready #kitaselangor #DemiKestabilan #DemiKemakmuran #Hasnal #HasnalKuang #CalonNo1 #HasnalSatu #HRM1 #SuaraKuang #KuangKuSayang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *