December 18, 2024

KUANG – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan melihat reaksi penerimaan pengundi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Kuang untuk calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican adalah positif.

Menurut beliau, sekiranya Hasnal Rezua dipilih sebagai ADUN Kuang pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos nanti, diharapkan beliau dapat melaksanakan perubahan, sentuhan rakyat dapat dibuat untuk meneruskan kesinambungan kerajaan perpaduan.

“Ini adalah kerana DUN Kuang adalah satu kawasan DUN yang sangat unik kerana di sini ada penduduk kampung, ada penduduk bandar, jika penduduk kampung keperluan dia lain penduduk bandar keperluannya lain,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Shah Zanuriman berkata calon yang menang perlu sekurang-kurangnya memenuhi permintaan asas penduduk dalam memastikan janji yang diberikan ditepati.

Katanya, jentera Pemuda UMNO Bahagian Selayang melalui jentera Pemuda BN sudah diberikan amanah tugasan melibatkan beberapa perkara yang diselesaikan.

“Seperti biasa tugasan Pemuda adalah melibatkan bendera dan poster calon di sekitar DUN Kuang, itu adalah portfolio yang dipertanggungjawabkan.

“Pada kempen ini juga, Pemuda diamanahkan untuk merencana satu lagi portfolio iaitu jejak pengundi muda dan kita akan menilai pengundi muda di dalam DUN Kuang berumur 18 hingga ke 40 tahun berkenaan sikap dan kajian mereka cenderung ke arah mana,” katanya.

Beliau berkata dari segi program, Pemuda BN akan menganjurkan sekitar lapan ke 10 program yang dipersetujui bersama oleh calon melibatkan program seperti sukan, konvoi motor dan beberapa program yang sudah dirancang.

“Pada ketika ini, pergerakan Pemuda UMNO dan BN Bahagian Selayang untuk membantu kemenangan calon DUN Kuang, DUN Kuang,” katanya.

Hasnal Rezua akan bertanding berdepan dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) Mohd Rafiq Mohd Abdullah dan calon Bebas Sallehudin Amiruddin yang merupakan penyandang ADUN Kuang sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *