Oleh ROHANA MAN
KUANG – Apa yang penduduk mahu daripada calon? Ini antara perkara yang setiap calon perlu fokus jika mahu menang kerusi yang ditandingi.
Untuk tahu apa yang penduduk mahu, calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican menyantuni rakyat melalui pelbagai penganjuran program rakyat.
Kesemua program yang diadakan itu, sama ada ziarah kasih,walkabout, lawatan, singgah santai atau gotong royong sejak seminggu lalu bertujuan mendekatkan diri calon dengan penduduk, sekali gus berkongsi maklumat mengenai apa yang penduduk mahu.
Program Ziarah Kasih iaitu kunjungan rumah ke rumah penduduk yang mempunyai ahli keluarga yang sakit atau ditimpa kemalangan jalan raya bukan sekadar singgah bertanya khabar.
Sebaliknya, program Ziarah Kasih sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepada pesakit yang dikunjungi.
Tinjauan Malaysia Hot mendapati, warga emas berusia antara 60 hingga 90 tahun yang sakit terlantar gembira menerima kunjungan Hasnal Rezua.
Antara lokasi yang menjadi tempat persinggahan Hasnal Rezua ialah Kampung Sungai Serai, Kampung Cempedak, Kampung Setia, Kampung Gombak, Kampung Damai, Bandar Tasik Puteri, Kundang dan Tasik Biru.
Kejayaan program itu membuktikan keprihatian Hasnal Rezua terhadap penduduk yang ditimpa kecelakaan akibat kemalangan jalan raya dan sakit terlantar.
Sambil memperkenalkan diri sebagai calon No.1 DUN N.13 Kuang, tuan rumah yang diziarahi mengambil peluang untuk melontarkan apa yang terbuku di hati selama ini.
Hampir semua tuan rumah yang ditemui mahu Hasnal Rezua memperjuangkan isu kenaikan harga barang yang membebankan penduduk golongan B40.
“Barang-barang sekarang ni….tahu sahajalah. Barang makan…, semua naik.
“Mana yang tak ada kerja macam suami mak cik…, susahlah.
“Nak harap anak-anak…, mereka pun ada keluarga sendiri. Gaji pula kecil, nak tanggung anak, isteri.
“Anak-anak beri setakat yang mereka mampu sahaja,” kata Noraini Md Chan, 62, di Kampung Gombak.
Suaminya, Mustafa Mohd Sharif, 68, pula berkata, kos sara hidup yang semakin mahal membebankan rakyat sepertinya.
“Kadang-kadang sakit, kena makan ubat. Kalau teruk, pak cik pergi klinik kerajaan.
“Tapi kalau sakit sikit-sikit, pak cik beli ubat di farmasi sahaja. Harga ubat pun semakin mahal,” katanya.
Mustafa yang diserang strok sejak tiga tahun lalu kini bergantung kepada anak-anak untuk menyara hidupnya dan isteri.
Sehubungan itu, beliau berharap calon yang menang kelak dapat mengadakan program bantuan bulanan untuk keluarga yang menyara anak dan cucu yang masih sekolah.
“Golongan remaja juga perlu diberi perhatian memandangkan zaman sekarang susah nak dapat kerja,” ujarnya yang mahukan pemimpin yang elok perangai, amanah dan rajin turun padang berjumpa rakyat.
Reduan Abdullah, 68, yang menetap di Kampung Gombak sejak tahun 1978 pula berkata, beliau mahu kerajaan negeri yang diberi mandat menyediakan peruntukan membina longkang yang lebih besar di kampungnya.
Ini kerana katanya, setiap kali hujan lebat, saiz longkang sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah aliran air yang banyak sehingga melimpah keluar dan membanjiri rumah penduduk.
“Yang lain sudah cukup. Satu sahaja yang saya nak…,longkang yang lebih besar di Kampung Gombak,” katanya yang menjaga bapa mertuanya, Nik Omar Bihin, 90, yang terlantar sakit tua.
Tinjauan Malaysia Hot dalam kalangan penduduk Kuang mendapati kos sara hidup yang tinggi dan harga barang semakin mahal menjadi isu paling utama yang perlu diselesaikan segera.