Oleh Rohana Man
SELAYANG – Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan kewibawaan Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican, 53, sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Kuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Perikatan Nasional (PN) pula memilih Mohd Rafiq Mohd Abdullah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai calon.
Sementara itu, bekas ADUN Kuang, Sallehudin Amiruddin membuat kejutan apabila muncul pada saat akhir untuk menjadi calon bebas.
Calon BN dan PN adalah muka baharu manakala Sallehudin mempertahankan jawatan yang disandang sejak 2018 selepas memenangi kerusi DUN Kuang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Berikutan itu, DUN N.13 Kuang bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru.
Tinjauan Malaysia Hot sekitar penamaan calon DUN N.13 Kuang di bangunan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pagi ini menyaksikan calon BN dan PN segak berpakaian baju Melayu dengan diiringi penyokong masing-masing.
Hasnal Rezua tiba sekitar pukul 8.30 pagi.
Buat pertama kali penamaan calon PRN Selangor, lautan warna biru tua dan merah bergabung dalam satu kumpulan yang mencecah lebih 2,000 penyokong.
Bendera biru tua dan merah mendominasi persekitaran halaman bangunan MPS.
Hasnal Rezua menjadi calon pertama menyerahkan kertas penamaan calon pada pukul 9.06 pagi, diikuti Mohd Rafiq pukul 9.10 pagi, manakala Sallehudin pada pukul 9.49 pagi.
Penyerahan kertas penamaan calon ditutup tepat pukul 10 pagi.
Pegawai Pengurus SPR DUN N.13 Kuang, Azhar Samsuri mengumumkan ketiga-tiga kertas penamaan calon diterima dan layak bertanding.
Dalam pada itu, tinjauan Malaysia Hot mendapati proses penamaan calon berjalan lancar dengan masing-masing penyokong melaungkan slogan parti masing-masing.
Hari pembuangan undi bagi PRN di enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah diputuskan oleh SPR pada 12 Ogos ini.
Untuk rekod, jumlah pengundi berdaftar di DUN N.13 Kuang adalah 45,606 orang.