Siri Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan bermula di enam buah negeri pada Sabtu ini dengan hari penamaan calon pasti akan tertumpu di negeri yang akan menjanjikan persaingan sengit iaitu Selangor.
Kali ini, pilihan raya negeri akan menampilkan parti dengan gandingan baharu bersama parti yang sedia ada di negara ini apabila Barisan Nasional (BN) akan menghadapi PRN bersama Pakatan Harapan (PH) yang merupakan gabungan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat selepas PRU15.
Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N13 Kuang, BN mengumumkan untuk meletakkan Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican sebagai calon parti itu.
Sebagai seorang peguam, kini beliau mahu menceburkan diri ke dalam politik pula untuk menjalankan khidmat kepada rakyat.
Beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Selayang dilahirkan pada 11 Jun 1970 dan kini berusia 53 tahun.
Umur itu dilihat para pemerhati politik sebagai umur matang untuk seseorang individu menjadi wakil rakyat sesuai dengan pengalaman yang beliau ada sebelum ini sebagai seorang Peguambela dan Peguamcara.
Selain dalam parti, beliau yang merupakan graduan Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga ada memegang jawatan dalam Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Pertubuhan Seni Silat Lincah Kebangsaan dan Majlis Olimpik Malaysia.
Beliau amat rapat dan aktif dalam melakukan kerja-kerja kemasyarakatan dan sering kali turut memberikan khidmat nasihat undang-undang.
Dalam laluan sejarah politik beliau, Hasnal Rezua mula menyertai UMNO pada tahun 1989 di bawah Cawangan Taman Ehsan, Bahagian Selayang.
Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Ketua Penerangan BN Selayang dan kini mengemudi UMNO Bahagian Selayang sebagai Ketua UMNO Bahagian.
Paling mustahak dalam perjalanan politik beliau bersama UMNO dan BN, beliau tetap terus setia dengan parti sejak dari awal.
Bagi dirinya, UMNO dan BN akan terus membawa agenda membantu rakyat tanpa mengira agama dan bangsa di samping memulihkan ekonomi negara melalui Kerajaan Perpaduan.
Bagi BN kelangsungan pentadbiran melalui kerajaan yang stabil amat penting kerana ia membawa kesejahteraan kepada rakyat tanpa mengira kaum, ras dan kedudukan.
Bagi kerusi DUN Kuang, Hasnal Rezua merupakan calon yang amat sesuai untuk diundi menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu pada hari pengundian 12 Ogos nanti.