September 19, 2024

Oleh ROHANA MAN

TIGA calon baru bakal menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023 iaitu calon N.13 Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican (BN), calon  N.20 Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet) dan calon  N.55 Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh (PN).

HASNAL REZUA BERJIWA RAKYAT

Kesemua calon memiliki kelebihan masing-masing, namun paling menonjol adalah calon kerusi N.13 Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican, 52. Beliau  merupakan Ketua UMNO Bahagian Selayang penggal 2023/26. Sebelum ini, beliau menyandang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang.

Dengan jawatan itu, beliau telah menjelajah dan mendekati penduduk melalui program kemasyakatan yang dianjurkan seperti Program Ziarah Prihatan melibatkan ziarah penduduk kurang bernasib baik di sekitar kawasan Parlimen Selayang.

Dengan tanda pagar (#) TetapSayang, program digerakkan untuk membantu penduduk yang ditimpa kesusahan. Ini sekali gus memperkenalkan dirinya sebagai seorang yang berjiwa besar dalam mendekati penduduk di setiap pelusuk kawasan.

Graduan Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM ini memiliki latar belakang yang  bukan calang-calang orang kerana Hasnal Rezua merupakan peguambela dan peguamcara berpengalaman dan   banyak mengendalikan kes-kes berprofil tinggi. 

Pengalaman dalam bidang perundangan yang dikumpul sejak menjadi peguam pada 1994 itu akan dikongsi bersama penduduk yang mahu mendapatkan khidmat nasihat perundangan. Kelebihan itu membolehkan beliau memberi khidmat sebagai seorang peguam kepada seluruh penduduk yang memerlukan.

Memetik berita UMNO Online, Hasnal Rezua baru-baru ini berkata, beliau akan menawarkan khidmat nasihat dan bantuan guaman memandangkan ramai tidak tahu platform perundangan untuk mendapat pembelaan.

“Sebagai peguam di lapangan, lebih mudah  untuk  saya memberikan bantuan yang diperlukan penduduk,” katanya.

ALTIMET PERTARUH POPULARITI

NAMA ini dikenali ramai kerana kerjaya beliau sebagai komposer, penulis lirik, pelakon dan penyanyi rap di negara ini.   Mempertaruhkan populariti sebagai anak seni untuk bertanding di N.20 Lembah Jaya mewakili Pakatan Harapan (PH),   Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali Altimet ,45,  kini menyandang jawatan Ketua Cabang PKR Ampang sejak 9 Julai 2022.

Walaupun sudah lima tahun menamatkan kerjaya seni, namun populariti beliau dalam bidang seni masih berbisa. Malah, pelontar lagu Aduh Malaysia itu menjadi lebih popular apabila lagu tersebut kerap dinyanyikan dalam kempen PH pada PRU-14.

Kemungkinan besar,  khidmat beliau sebagai penulis lirik diperlukan bagi mencipta lagu baru yang lebih panas berbanding Aduh Malaysia untuk bahan kempen PRN Selangor 2023.

Apa lagi yang beliau ada? Pengalaman dalam gerak kerja yang dilakukan selama sembilan bulan sebelum pembubaran DUN di Lembah Jaya boleh dijual kepada pengundi untuk menambat hati mereka.

Memetik kenyataan beliau dalam laporan mStar, Altimet berkata:  

“Pengalamana dalam gerak kerja dan penyelaras kawasan  DUN Lembah Jaya memberi peluang kepada saya mengenali penduduk di sana. Faktor ini mendekatkan saya dengan warga penduduk,” ujarnya yang menyertai PKR pada 2021.

JAMIL UMPAN PENGALAMAN 

CALON kerusi N.55  Dengkil mewakili Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Jamil Salleh. Beliau adalah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Bersara daripada perkhidmatan awam kira-kira empat tahun lalu, Jamil menggantikan Adhif Syan Abdullah yang menang kerusi itu dengan majoriti 6,934 undi pada PRU14. Soalnya, mampukah Jamil mempertahankan kerusi yang dimenangi Bersatu semasa PRN Selangor 2018?

Meninjau pengalaman beliau sekadar dalam sektor perkhidmatan awam selama 35 tahun. Beliau yang bersara pada 2019 dijangka mengumpan pengundi dengan berceloteh mengenai kos sara hidup dan harga barang yang terus melonjak.

Namun kita tahu bahawa  kenaikan kos sara hidup sudahpun berlaku sejak zaman bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Indeks harga pengeluar sudah naik mendadak sejak Januari 2021. Ini fakta yang tidak boleh dinafikan. Malah inflasi kini menjadi masalah yang semakin besar akibat dasar-dasar kerajaan PN yang kurang bijak, selain situasi lockdown pandemik Covid-19.

Justeru, propaganda yang menggunakan isu kenaikan harga barang untuk menyerang kerajaan sekarang bakal ‘memakan diri’. Jadi, di mana kekuatan Jamil untuk menepis fakta calon lawan yang bertanding pada PRN Selangor ini?

Baru-baru ini, PN mengumumkan gabungan itu bertanding di 56 kerusi menyaksikan pembahagian sebanyak 21 calon Bersatu, 17 calon PAS, lapan calon Gerakan dan 10 calon mewakili Bersatu-Bersekutu iaitu satu daripada sayap Bersatu pada PRN Selangor 2023. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *