September 20, 2024

Bayan Lepas: Kedai serbaneka di Jalan Dato Ismail Hashim, di sini berubah huru-hara selepas babi jantan ‘menceroboh’ dan bertindak agresif, hingga mencederakan pekerja.

Kejadian kira-kira 6 petang semalam itu turut menyebabkan pelanggan berlari keluar untuk menyelamatkan diri. 

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Barat Daya Kapten (PA) Salman Rahimi Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.15 petang dan lima anggota bergegas ke lokasi. 

“Ketika tiba, haiwan itu masih berkeliaran dalam premis, cedera dan dalam keadaan agresif,” katanya.

Menurut Salman, pihaknya dengan bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terpaksa menembak mati haiwan itu selepas tembakan pelali tidak berkesan.

Haiwan dianggar seberat 80 kilogram itu dipercayai tersesat dan muncul dari kawasan hutan berhampiran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *