November 10, 2024

Shah Alam: PKR Selangor mengorbankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga sekali gus menggugurkan Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail yang sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat di situ selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) sejak pentadbiran Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

DUN Batu Tiga satu-satunya DUN yang tidak diumumkan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Majlis Pengumuman Calon PKR di Padang Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 7, di sini, malam tadi.

Selain Rodziah, seorang lagi Exco Kerajaan Negeri digugurkan adalah Hee Loy Sian yang memegang portfolio Alam Sekitar dan Pelancongan apabila Anwar mengumumkan nama muka baru di DUN Kajang yang disandangnya penggal lalu, iaitu David Cheong.

Sebelum ini, tiga Exco Kerajaan Negeri mengesahkan tidak bertanding pada PRN kali ini, mereka ialah Datuk Teng Chang Khim (DAP-Bandar Baru Klang), Dr Siti Mariah Mahmud (Amanah-Seri Sedang) serta V Ganabatirau (DAP-Kota Kemuning).

Pengumuman malam tadi juga menyaksikan seorang lagi Adun senior PKR sejak kepimpinan Abdul Khalid tidak diumumkan sebagai calon PRN kali ini iaitu Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dan kerusi beliau dinamakan dengan muka baru, Phua Pei Lei.

Bagaimanapun, PKR memperoleh satu kerusi milik Amanah di Hulu Kelang selepas Anwar mengumumkan penyandang Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli diangkat sebagai calon di DUN berkenaan. 

Berkemungkinan ada pertukaran di antara kerusi DUN Batu Tiga dengan kerusi Amanah di DUN Hulu Kelang, yang sebelum ini disandang oleh Shaari Sungib sejak tiga penggal yang lalu (PRU-12).

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga penyandang DUN Sungai Tua serta tiga Exco Kerajaan Negeri, Mohd Khairuddin Othman (Paya Jaras), Mohd Zawawi Ahmad Mughni (Sungai Kandis) juga Borhan Aman Shah (Tanjung Sepat) terus mempertahankan kerusi masing-masing kali ini.

Selain Exco, empat Adun yang turut mempertahankan kerusi mereka adalah Najwan Halimi (Kota Anggerik), Azmizam Zaman Huri (Pelabuhan Klang), Gunarajah R George (Sentosa) dan Chua Wei Kiat (Rawang).

Pada PRN kali ini, PKR mengekalkan sembilan bekas Adun serta memberikan peluang kepada 11 muka baru di Selangor untuk bertanding.

Selain Cheong dan Pei Lei, antara muka baru PKR adalah selebriti tanah air yang akan bertanding di Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet) serta calon termuda berusia 25 tahun, iaitu Erni Afrishah Azizi bertanding di DUN Sementa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *