Pelakon Zain Saidin memberitahu dia dan isterinya, Rozita Che Wan mempunyai perancangan untuk mendapatkan cahaya mata kedua.
Memetik mStar Online, Zain bagaimanapun berkata dia menerima ketentuan serta menyerahkan soal rezeki zuriat itu kepada Allah SWT.
Kata Zain lagi, anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana pernah menyatakan hasrat untuk mempunyai adik apatah lagi abang-abangnya sudah besar.
“Saya tak pernah henti mencuba untuk dapatkan zuriat cumanya ia bergantung kepada rezeki, kalau ada okay, sekiranya tak ada tak apa syukur saja.
“Aaisyah kadang-kadang dia ada juga bertanya soal itu sebab dia ada abang yang sudah besar jadi dia sunyi tak ada kawan. Jadi sebagai bapa, saya lah yang jadi kawan kepada dia sekarang ini.
“Pernah satu tahap dia minta adik yang sama umur dengannya supaya dapat bermain sekali… dia pernah juga cakap minta kami ambil anak angkat sama baya dengan dia,” katanya.
Zain mendirikan rumah tangga dengan Che Ta pada Disember 2013. Zain turut mempunyai dua anak tiri iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra.