Baru-baru ini, tular video memeparkan pendakwah bebas terkenal, Ustaz Kazim Elias di dalam satu ceramah menceritakan kebaikan seorang pelawak terkenal berasal dari Johor.
Menerusi video tersebut, Ustaz Kazim jiran kepada pelawak itu memaklumkan bil elektrik di masjid dan surau sekitar kampungnya ditangguh oleh pelawak berkenaan.
“Saya bersembang dengan orang Johor pagi tadi, dia cerita jiran dia ni ada kedai (restoran). Jiran dia ni suami isteri, anak kepada jiran dia ni pula (yang buka kedai makan ni) pelakon terkenal, pelawak terkenal.
Menurut Ustaz Kazim lagi, individu tersebut turut menceritakan kebaikan dilakukan oleh pelawak berkenaan di kampungnya.
“Ustaz tahu tak pelakon dan pelawak anak diorang ni, bil masjid dan surau dalam kampung semua dia bayar. Mak ayah dia ni yang meniaga ni pula, anak tak bagi meniaga dah, anak bagi duit tiap-tiap bulan tapi mak dia nak meniaga juga sebab ada pekerja. Ada janda, ada orang susah yang kerja di kedai makan mereka.
“Kalau dia tutup kedai makan, diorang ni susah maka dia tetap buka kedai makan, bila orang datang beli tapi tak ada duit mereka bagi percuma.
“Sejak dulu sampai sekarang dia tak miskin, kedai dia tak tutup, anak dia makin murah rezeki sebab bersedekah. Patutlah Nabi berkata, tidak akan berkurang harta dengan sebab kita bersedekah,” katanya.
Perkongsian video itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang memetik beberapa nama pelawak yang berasal dari Johor. Malah, ada yang mengatakan pelawak yang dimaksudkan itu adalah Jep Sepahtu memandangkan ibunya mempunyai kedai makan.