November 17, 2024
Awak datang ke halaman saya dan tinggalkan najis. Awak bernasib baik kerana saya tidak berhajat menyaman semula kerana nama saya lebih tinggi nilainya

Cef selebriti popular, Redzuawan Ismail atau cef Wan, 65, tidak mahu buang masa melayan tuntutan saman malu RM1 juta dikemukakan bekas menantunya, Shikin Maembong yang dihantar melalui peguamnya, semalam.

Melalui hantaran terbaru di Instagramnya (IG), cef Wan berkata, beliau tidak bercadang menyaman semula bekas menantunya yang juga kakak kepada pelakon Emma Maembong, biarpun dimalukan dan menyifatkan namanya lebih tinggi nilai.

“Saya tidak tamak dan tak mahu buang masa turun naik mahkamah. Lagipun, saya percaya berjuta lagi memerlukan perhatian. Masa saya terlalu berharga untuk negara. Jangan berikan ‘najis’ awak pada saya, sila bawa ke tempat lain.

“Awak datang ke halaman saya dan tinggalkan najis. Awak bernasib baik kerana saya tidak berhajat menyaman semula kerana nama saya lebih tinggi nilainya,” katanya.

Semalam, cef Wan meluahkan rasa terkilan apabila bekas menantunya bertindak menghantar surat saman malu berpunca teguran terbuka dibuat, beberapa bulan lalu. Ia mengenai perbalahan Shikin dengan anak sulungnya, Nadzri atau cef Riz berhubung anak tunggal, Putri Arriana Natasya, 7.

“Saya selalu lurus bendul dan sentiasa cuba membantu orang lain. Hubungan kami baik sahaja. Kami saling menghormati satu sama lain. Malah, saya cuba menjaga perhubungan dengan bekas menantu biarpun mereka sudah bercerai.

“Dia adalah ibu yang baik pada Arriana dan saya selalu memujinya. Dia juga baik terhadap saya, malah sering menyatakan sayang kepada saya biarpun kini sudah jadi bekas mentua.

“Saya sentiasa mengambil berat keadaannya dan Arriana,” katanya.

Secara jujur, cef Wan bercerita, dia selalu berpesan sekiranya menghadapi masalah kewangan, beritahu dan akan cuba membantu kerana Arriana adalah cucunya.

Katanya, Nadzri dahulu bergaji kecil dan perniagaan diusahakan kurang maju menyebabkan ada masanya terpaksa membantu anaknya itu dari segi kewangan.

“Jadi, saya selalu mengingatkan Shikin jangan berkeras dengan Nadzri. Ini kerana Nadzri sedang berjuang dengan perniagaannya. Datang pada saya dan akan dibantu.

“Jujurnya, saya akan menghulurkan antara RM500 hingga RM1,000 mengikut kemampuan setiap kali bertemu Shikin dan Arriana. Dua kali Arriana dimasukkan ke hospital swasta, sayalah menyelesaikan bil perubatan beribu ringgit.

“Saya tidak minta Nadzri mahupun Shikin membayarnya,” katanya.

Cef Wan berkata, dia tidak suka melihatkan pergaduhan sehingga bapa mentua menerima tempias dan tidak boleh berjumpa cucu bertahun lamanya.

“Hendak pergi Switzerland baru hantar Arriana, itu pun sebab hendak buat pasport. Selepas itu, Nadzri langsung tidak dibenarkan berjumpa Arriana.

“Dia buat anak saya seperti peminta sedekah. Itulah kebenarannya,” tulis cef Wan.

Menerusi hantaran di IG, semalam, cef Wan menyifatkan Shikin lupa jasa yang pernah bersusah payah membantu membiayai majlis perkahwinan menggunakan wangnya 100%.

Cef Wan menganggap bekas menantunya itu tidak boleh ditegur dan dinasihati. Sedangkan niatnya untuk menasihati anak dan bekas menantunya mengenai cucu.

“Letih saya melayan kisah anak-anak. Dia tak malu ke, ada hati nak saman saya? Saya nasihat yang baik-baik untuk mereka. Miskin sangat ke nak saman saya RM1 juta?,” tulisnya.

Tidak mahu berdiam diri, Shikin tampil memberikan penjelasan menerusi IG Story.

Dalam video dimuat naik, Shikin berkata, kos majlis perkahwinan dengan bekas suami adalah 100% daripada wang simpanan tanpa menggunakan duit bekas bapa mentuanya.

Katanya, dia perlu bersuara bagi mendedahkan kebenaran selepas menerima kecaman hebat susulan kenyataan dikeluarkan cef Wan yang disifatkan berbaur fitnah.

“Terima kasih kepada mereka hantar mesej langsung dan bertanya khabar. Tidak kurang ramai juga yang kecam saya. Saya bukanlah jenis suka mengaibkan atau bercerita hal peribadi dalam IG. Tetapi memandangkan keadaan memaksa, saya harus menerangkannya.

“Sebenarnya masa berkahwin dengan bekas suami duit perkahwinan adalah 100% duit kami sendiri. Ketika itu, saya dan bekas suami membuat perniagaan Elken. Kami kumpul duit dan kahwin guna duit sendiri, tiada satu sen duit bekas bapa mentua.

“Apa yang dimuat naik adalah fitnah, jadi, semua perlu tahu hal sebenar,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran terkini cef Wan memuat naik semula video penafian Shikin. Menyifatkan bekas menantunya penipu dan boleh membawa saksi yang menerima pembayaran untuk majlis perkahwinan itu.

Nadzri mendirikan rumah tangga dengan Shikin pada 5 Dis 2014, namun bercerai dua tahun kemudian. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan Arriana.

Nadzri berkahwin buat kali ketiga pada Januari lalu. Selain Shikin, Nadzri pernah berkahwin dengan pelakon, Ana Dahlia. Mereka bercerai selepas 11 bulan mendirikan rumah tangga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *