November 21, 2024

ALOR SETAR: UMNO Kedah menyifatkan dakwaan ada ‘warlord’ atau pemimpin utama UMNO akan menyertai Perikatan Nasional (PN) menjelang pilhan raya negeri (PRN) sebagai propaganda menjelang pengundian.

Menafikan ada ‘warlord’ UMNO dari Kedah yang akan bertindak demikian,

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata dakwaan itu direka pihak lawan untuk meraih sokongan rakyat menjelang PRN tidak lama lagi.

“Setakat ini tidak nampak, tidak ada (warlord) di Kedah..saya fikir mana-mana organisasi parti politik akan ada musim di mana ada yang keluar dari parti atau dikenakan tindakan dan mereka bawa diri. Bukan sahaja UMNO pergi ke parti lain, tapi dari parti lain ke UMNO pun ada terjadi.

“Contohnya, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyertai Majlis Ulama UMNO. Jadi, tidak perlu guna persepsi untuk pilihan raya kerana pada akhirnya rakyat akan pilih sama ada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) atau PN,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata propaganda mengenai ‘warlord’ itu adalah lebih kepada usaha untuk meraih sokongan beberapa golongan yang akan membuang undi pada PRN akan datang, terutamanya anak muda.

“Semua ada pemikiran masing-masing untuk kemajuan Kedah dan dalam tempoh lima tahun akan datang, adalah sesuatu yang kita tidak dapat elak dan perlu kerajaan yang sama seperti Persekutuan sebab itu kita mahu ‘kalih’ (ubah) negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan mengenai aktiviti-aktiviti yang boleh difokuskan untuk dilaksanakan menjelang PRN ini supaya program bersasar dan bersesuaian dapat dijalankan kepada semua kumpulan sasaran.

“Kita kena ambil kira semua kumpulan, apa yang sesuai untuk anak muda, pesawah, nelayan, penoreh getah dan lain-lain..kira tengok apa program bersesuaian di tempat masing-masing sebab kawasan juga ada ‘multiracial’ ada Melayu, Cina, India dan Siam, jadi kena ambil kira semua itu.

“Mengenai calon parti yang akan bertanding pada PRN, ia sedang disusun dan dalam masa terdekat siap nanti kita akan serah nama-nama calon itu kepada Presiden parti. Ada calon muka baharu, muka lama dan juga wanita dan calon terbaik yang akan dipilih nanti,” katanya.

Pada 12 Jun lalu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin semasa sidang media di lobi Parlimen memaklumkan PN akan mengumumkan senarai nama 10 ‘panglima perang’ atau ‘warlord’ UMNO yang disisihkan untuk menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *