DUA KALI Pas Terengganu ‘berjaya’ membeli tanah milik kerajaan negeri dengan harga yang murah. Pertama kali Pas perolehi aset strategik yang tinggi nilainya adalah ketika Pas menjadi kerajaan negeri selepas pilihanraya umum pada tahun 1999(PRU-10).
Hadi Awang sebagai Menteri Besar telah meluluskan penjualan tanah tersebut kepada sebuah koperasi milik Pas dengan harga hanya RM340,000. Pas tidak melakukan apa-apa terhadap tanah tersebut sehinggalah Terengganu berjaya dirampas kembali oleh UMNO-BN dan Idris Jusoh menjadi Menteri Besar PRU2004). Malangnya apabila kerajaan mengambil balik tanah tersebut, kerajaan negeri terpaksa membayar RM6 juta lebih kepada koperasi milik Pas tersebut.
Menurut bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said, tanah tersebut adalah asalnya tapak untuk Mahkamah Tinggi Terengganu dan juga telah digazetkan di bawah seksyen kanun tanah negara dan dijaga oleh Setiausaha Kerajaan Negeri untuk pembangunan masa hadapan.
Malangnya apabila Pas sekali lagi menjadi kerajaan negeri selepas PRU-14, mereka menjual kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat dengan nilai yang terlalu rendah dari harga pasaran iaitu RM500,000. Nilai pasaran ketika waktu tersebut adalah hampir RM30 juta.
Timbul persoalan, bagaimana tanah yang telah digazetkan untuk pembangunan di masa hadapan boleh dengan mudah dijual kepada sebuah badan milik penuh parti politik?
Alasan Menteri Besar Pas Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar bahawa penjualan tersebut telah melalui ‘prosedur’ yang betul dengan mendapat persetujuan sebulat suara di dalam mesyuarat Exco Negeri.
‘Prosedur’ membuat sesuatu keputusan bukanlah alasan untuk menjual aset milik kerajaan sebebasnya termasuk menjual kepada parti politik. Menteri Besar dari Pas, kesemua EXCO dari Pas dan pembelinya adalah komponen milik penuh parti Pas. Bagaimana boleh diberikan tafsiran tatakelola yang betul dan bersih sekiranya prinsip asas dilanggari iaitu aset tersebut milik rakyat dan guna tanah tersebut juga bertujuan untuk kepentingan rakyat di masa hadapan.
Isteri Menteri Besar Pas Terengganu boleh disiasat di bawah seksyen 423 akta SPRM iaitu membeli hartanah di bawah nilai pasaran. Manakala Menteri Besar Terengganu dan EXCO boleh disiasat kerana salah guna kuasa menjual tanah milik rakyat.
Ada tuduhan liar untuk mengaburi proses penjualan aset milik rakyat ini dengan menuding jari bahawa UMNO juga ada membeli tanah. Pas lupa, UMNO tidak pernah membeli tanah yang digazetkan untuk kepentingan rakyat, tidak pernah miliki tanah yang sama sebanyak dua kali dan tidak membeli tanah yang diambil balik.