Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memasang 17 unit kamera litar tertutup (CCTV) selain sistem penggera sekitar Stadium Perak, di sini, susulan kes kecurian komponen lampu limpah stadium itu buat kali kedua yang dikatakan berlaku pada 11 Mei lalu.
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata, pemasangan CCTV dan sistem penggera yang membabitkan kos RM50,000 akan dilaksanakan bulan depan dan dijangka selesai menjelang Julai ini.
Katanya, jumlah kerugian yang ditanggung melalui kes kecurian kedua itu sebanyak RM78,000 iaitu selepas kes kecurian pertama yang dilaporkan berlaku pada Februari lalu membabitkan kerugian RM135,000 ketika itu.
“Memang kita akan pasang CCTV serta sistem penggera dengan peruntukannya sebanyak RM50,000 pun sudah lulus dan dijangka bulan depan kita akan mula memasangnya termasuk membabitkan pemasangan di setiap bilik elektrik tempat terletaknya lampu limpah itu.
“Kecurian lampu itu mungkin dilakukan oleh lebih daripada tiga orang memandangkan kita tengok kaedah kecurian yang dilakukan ini sangat cepat. Antara yang dicuri membabitkan komponen tembaga yang ada pada 50 lampu limpah terbabit yang setiap satu dianggarkan bernilai RM1,300,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Surat Lantikan Ahli Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dan Area Officer (AO) di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.
Rumaizi ditanya perkara tular mengenai kecurian kali kedua itu yang hantaran mengenainya dimuat naik menerusi akaun Facebook TBG Super Fan pada 12 Mei lalu dengan hantaran mengenai kes kecurian yang kembali berlaku di Stadium Perak.
Hantaran itu mendapat reaksi pelbagai dari peminat bola sepak Perak, termasuk ada yang mencadangkan supaya penguatkuasaan lebih ketat dibuat termasuk melalui pemasangan CCTV di kawasan stadium.
Ditanya mengenai peningkatan tahap pengawasan Stadium Perak ketika ini sejak kejadian kecurian pertama berlaku Februari lalu, Rumaizi berkata sememangnya ada pegawai ditempatkan di sana namun ia tidak memadai.
“Memang ada pegawai duduk di pos pengawal namun kawasan stadium itu yang luas mewujudkan banyak akses untuk (pecah) masuk, lebih-lebih lagi pada tengah malam,” katanya.