Permohonan pengarah sensasi, Syamsul Yusof, 39, untuk melanjutkan perintah injunksi terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana, 38, ditolak Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pagi tadi.
Keputusan itu dibuat Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah yang memerintahkan agar kes itu didengar secara inter-parte (kedua-dua pihak) namun, difahamkan, Syamsul minta dikecualikan untuk hadir pada sebutan pertama kes itu hari ini.
Difahamkan, Syamsul membuat perintah injunksi terhadap Puteri Sarah pada 25 April lalu bagi menghalang isterinya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pergolakan rumah tangga mereka di semua platform media sosial.
Abdul Halim mengarahkan Puteri Sarah selaku defendan kes itu untuk memfailkan jawapan terhadap injunksi ex-parte dan kes akan disambung semula pada 8 Jun depan.
Ketika ditemui, peguam yang mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata, perintah injunksi pertama dibuat Syamsul terhadap anak guamnya hanya sah dalam tempoh 30 hari sahaja.
“Kes hari ini adalah sebutan pertama di mana pihak mahkamah meluluskan permohonan anak guam saya (Puteri Sarah) untuk menjawab perintah injunksi yang dibuat plaintif (Syamsul).
“Plaintif (Syamsul) membuat permohonan secara lisan menerusi peguamnya Azmi Mohd Rais untuk melanjutkan perintah injunksi berkenaan.
“Bagaimanpun, selepas mendengar prosiding interparte dan pihak kami membuat bantahan, mahkamah menolak permohonan plaintif (Syamsul) terbabit,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas perintah injunksi itu lagi, Datuk Akberdin berkata, Syamsul juga perlu membuat permohonan secara rasmi sekiranya ingin melanjutkan perintah injunksi terhadap Puteri Sarah yang bakal berakhir pada 27 Mei ini.
“Selepas habis tempoh berkenaan, tiada halangan untuk anak guam saya (Puteri Sarah) mengeluarkan sebarang kenyataan di mana-mana platform seperti media sosial dan sebagainya.
“Tapi pihak kami tidak menggalakkan anak guam (Puteri Sarah) untuk membuat sebarang kenyataan kepada pihak media sesuka hati,” katanya.
Sementara itu, Puteri Sarah hadir ditemani pengurusnya di mahkamah syariah di sini, kira-kira jam 9.22 pagi tadi.
Bagaimanapun, ketika ditanya pihak media di perkarangan mahkamah, Puteri Sarah memaklumkan tidak tahu mengenai prosiding pada hari ini.
Kes pasangan ini akan bersambung pada petang ini bagi prosedur Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI)
Terdahulu, Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.
Kes perceraian pasangan ini masih berjalan di Mahkamah Syariah dan gagal diselesaikan selepas Syamsul enggan menceraikan Puteri Sarah pada 18 April lalu.
Pergolakan rumah tangga mereka bermula selepas kehadiran pihak ketiga iaitu Ira Kazar, anak kepada pelakon veteran Kazar, sebelum Syamsul mengakui sudah bernikah dengan wanita itu pada awal Januari lalu di Thailand.
Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.