Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) diarahkan mengambil tindakan segera ke atas satu penganjuran majlis berunsur maksiat yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kerajaan negeri mengecam penganjuran acara yang secara terang-terangan mengajak orang ramai melakukan maksiat.
“Jangan cuba berkelakuan dengan perangai buruk di Johor. Mengajak orang melakukan maksiat terang-terangan dan tak bermoral.
“Saya dah arahkan JAINJ siasat dan ambil tindakan segera.
“Saya bagi amaran! Demi Allah, saya tak akan benarkan ia berlaku di Johor,” katanya dalam kenyataan di hantaran Facebooknya, petang semalam.
Mohd Fared membuat kenyataan itu susulan penyebaran kad jemputan penganjuran acara diberi nama ‘Gang Bang JB Party’ yang dijadualkan berlangsung antara 4 petang hingga 9 malam, 20 Jun depan.
Pada masa sama, Mohd Fared memohon kerjasama orang ramai untuk mencegah dan menghalang kegiatan tidak bermoral itu.
“Semua mesti bantu cegah dan halang kegiatan tak bermoral ini. Sebarkan!!,” tegasnya.