November 17, 2024

Seorang duda anak tiga, dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, atas kesalahan mengugut ibu kandungnya dengan pisau untuk mendapatkan wang, tahun lalu.

Hukuman diputuskan Majistret, Mazana Sinin, selepas menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh Wira Md Aris, 41, dan hujah pendakwaan bagi pemberatan hukuman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut ibunya, Ara Sembok, 66, dengan menggunakan pisau dalam keadaan muka bengis dan marah sambil meminta wang.

Kesalahan itu dilakukan di ruang dapur sebuah rumah di Bertam Malim, kira-kira jam 5 petang pada 22 September tahun lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha, berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat untuk tidak mengulangi kesalahan itu.

Peguam bela, Muhammad Izzuddin Ab Malek, merayu hukuman ringan kerana anak guamnya menyesali perbuatannya, selain perlu menyara tiga anak dengan pendapatan RM800 sebulan sebagai nelayan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan bermula dari tarikh tangkapan pada 18 Mei lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *