Pelakon Ruhainies berkata dia mengakui takut untuk mendirikan rumah tangga selepas melihat banyak kes perceraian dan golongan penyondol dalam kalangan selebriti.
Memetik Kosmo, Ruhainies berkata dia kini mahu memberi fokus pada kerjayanya dan menstabilkan status kewangan terlebih dahulu.
“Sejujurnya, memang takut nak melangkah ke alam perkahwinan disebabkan apa yang berlaku sekarang. Orang bercerai sini sana dan kebanyakan melibatkan golongan selebriti, mana saya tak cuak dengan apa yang berlaku.
“Doa saya semoga dipertemukan dengan jodoh yang baik-baik dan dapat berkekalan hingga akhir nyawa. Siapa yang mahukan perceraian apabila sudah berkahwin? Saya pun tak mahu,” katanya.
Dalam pada itu, Ruhainies berkata dia kini lebih berhati-hati untuk berkongsikan hal peribadi serta soal cinta. Ujarnya, apabila sudah betul-betul yakin, baru akan kongsikan kepada umum.
“Saya dah tak mahu cerita lebih-lebih tentang soal peribadi terutama soal cinta. Kalau dah betul-betul yakin cinta memang bersatu hingga ke jenjang pelamin, baru saya akan umumkan.
“Buat masa sekarang, saya begini sahajalah. Sibuk dengan kerjaya lakonan, masa dengan ibu bapa dan perniagaan.
“Kalau ada rezeki berkahwin, saya tidak akan tolak, namun kalau masih juga belum sampai, saya akan tunggu jodoh dengan penuh setia,” katanya.
Sebelum ini, Ruhainies pernah berkongsikan mengenai hubungan cintanya dengan lelaki dikenali sebagai Mr.E yang merupakan seorang ahli perniagaan.